Monday, May 12, 2008

Perlu ke berdakwah kepada non muslim

Oleh Bro Masyuri
Friendly Comparative Religion

Orang Islam masih ramai lagi yang tidak betul, mengapa perlu berdakwah pada non Muslim pula?

Jawapan:

Surah Ali Imran ayat 104 menyuruh supaya sebahagian daripada kita melakukan dakwah untuk mengembangkan Islam. Dalam ayat ini diperintahkan supaya hendaklah ada sebahagian daripada masyarakat Islam di sesuatu kawasan untuk menjalankan kerja-kerja mengembangkan Islam sebagai kerja khusus mereka. Namun, ini bukanlah bermakna apabila telah wujud kumpulan yang khusus yang menjalankan aktiviti dakwah kepada non Muslim, maka umat Islam yang lain tidak perlu “menjual” Islam kepada non Muslim. Tetapi hakikatnya, setiap orang Islam perlu melakukan amar maaruf nahi mungkar.

Pada peringkat awal Nabi saw melaksanakan dakwah, Nabi saw menumpukan soal aqidah semata-mata tanpa disebut tentang hukum hakam. Dan usaha membetulkan aqidah ini tidak pernah berhenti hinggalah ke zaman sekarang. Apa yang dilakukan oleh Nabi saw dan orang-orang yang menyambung usaha baginda, adalah sudah semestinya perkara amar maaruf dan nahi mungkar. Malah umat Nabi saw (kita - umat Islam) adalah umat yang paling mulia dan berbeza dengan umat-umat yang terdahulu adalah kerana kitalah satu-satunya umat yang diperintahkan tugas "amar maaruf nahi mungkar" tadi.

Timbul satu persoalan di sini, apakah perkara mungkar terbesar di sisi Allah? Jawapannya semestinya mensyirikkan Allah. Siapakah yang mensyirikkan Allah? Jawapannya sudah semestinya orang-orang non Muslim (dan sebahagian umat Islam sendiri). Adakah kita (umat Islam) mencegah KEMUNGKARAN NOMBOR SATU ini secara yang secukupnya? Jika tidak, adakah kita fikir Allah tidak akan menyoal kita tentang perkara ini di akhirat nanti? Malah jika kita lihat perkara makruf terbesar pula ialah MENGESAKAN Allah.

Jika kita lihat di surau-surau, masjid-masjid, sekolah-sekolah dan IPT, setiap hari kita diajak kepada kebaikan (amar maaruf) dan diingatkan tentang kemungkaran (nahi mungkar) beserta dengan hukum hakam dan lain-lain perkara oleh ustaz/ah dan imam. Tetapi, malangnya soal aqidah amat kurang menjadi fokus hinggakan ramai di kalangan umat Islam bersolat tapi tiada roh di dalamnya, berpuasa tapi seolah-olah menjadi adat, bertudung tapi hanya ikutan. Sebab itulah ada yang bergelar "ustaz, ustazah, imam" yang hafal yasin, tidak pernah tinggal solat, puasa, tapi masih terbabas menjadi kafir.

Walaubagaimanapun, sebenarnya kita tidak perlu hairan tentang perkara ini kerana sedangkan syaitan yang pernah tinggal di dalam syurga dan tahu tentang kebenaran Allah, Nabi saw, nikmat di syurga dan siksaan di neraka pun boleh menentang Allah, inikan pula manusia yang bernama "ustaz/ah dan imam".

No comments:

ISLAM UNTUK SEMUA DAN INDAHNYA ISLAM DENGAN DAKWAH

Erti Hidup Dengan Memberi, Erti Bijaksana Dengan Hikmah