Thursday, June 16, 2011

Empat Orang Saksi Untuk Tuduhan Rogol?



Malaysia dikejutkan dengan sebuah karikatur yang disiarkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 15 Jun 2011. Karya hasil buah tangan Miki yang bertajuk "Kekeliruan Kes Rogol" itu disiarkan di halaman 15, akhbar yang menjadi lidah kepada parti pemerintah Malaysia.


Karya itu mengundang pelbagai reaksi termasuklah Persatuan Ulama Malaysia yang meminta agar pihak yang terbabit didakwa kerana ia menghina Islam.


Bagi saya, karikatur ini membawa kepada dua pengertian yang berbeza dan wajar diberikan perhatian lanjut kerana terdapat pengajaran yang dapat kita ambil. Pertamanya adalah dari sudut politik dan keduanya adalah dari sudut kekeliruan terhadap hukum.


Dari segi politik, ia adalah sebagai satu sindiran kepada dakwaan wujudnya pita video lucah membabitkan Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan memetik kata-kata Tuan Guru Haji Hadi mengenai kesahihan pita rakaman untuk tujuan pendakwaan. Kerana itu wujudnya dialog


“Peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata! Dia hanya Besi.”


Bagi saya, kata-kata Tuan Guru Haji Hadi ini tidak ada salahnya di sisi syarak kerana isu Anwar Ibrahim adalah berperihal tentang tuduhan zina ke atas Anwar Ibrahim. Oleh itu, mereka yang menuduh Anwar berzina wajar membawakan empat orang saksi seperti yang dituntut oleh syarak.


Kesalahan utama dalam karya ini jika diambil kira dari sudut hukum adalah dengan mengaitkan Rogol dan Zina sebagai suatu kesalahan yang sama dibawah undang-undang islam. Seperti mana tajuk karya tersebut, ternyata penulis itu sendiri KELIRU akan dua entiti ini dalam sistem perundangan Islam.


Isu ini bukanlah isu yang baru tetapi merupakan isu lama dan telah menimbulkan kekeliruan bukan sahaja dalam kalangan muslim tetapi juga dalam kalangan non muslim hingga menimbulkan ketidakpuasan hati dalam golongan yang memperjuangkan hak asasi manusia. Kata mereka, islam itu tidak adil pada wanita dan sistem perundangan islam adalah bias kepada kaum lelaki.


Hakikatnya, rogol adalah tidak sama dengan zina dimana ia berlaku akibat terdapatnya unsur-unsur paksaan dan menimbulkan ketakutan dalam hubungan kelamin dimana jenayah ini dikira sebagai “hirabah”.


Untuk jenayah rogol, kesaksian wanita itu sendiri sudah cukup untuk mendakwa seseorang lelaki atas tuduhan rogol. Ia boleh dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh Wa'il ibn Hujr di dalam Sunan Abu Daud buku 38 (berkenaan hukuman Hudud), hadis yang ke 4366.


Hadis tersebut memberikan gambaran bahawa seorang wanita telah diserang dan dirogol oleh seorang lelaki di dalam gelap sewaktu keluar untuk bersolat. Sewaktu beliau berteriak meminta pertolongan, seorang lelaki mendengarnya dan telah mengejar perogol tersebut. Apabila hari semakin cerah, sekumpulan emigrant mendengar jeritan perempuan tersebut dan telah tersalah tangkap pemuda yang mengejar perogol itu. Pemuda itu telah dibawa menghadap Rasulullah dan satu perbicaraan telah dijalankan. Pemuda tadi tidak membela diri dan hanya mendiamkan diri sewaktu perbicaraan dijalankan dan beliau akhirnya dihukum. Keadaan tersebut yang turut disaksikan oleh perogol sebenar telah menimbulkan keinsafan di hatinya dan akhirnya mengaku bersalah atas kesalahan tersebut. Akhirnya, perogol yang sebenar menerima hukuman rejam dengan batu.


Selain itu, sistem perundangan islam juga telah menghasilkan undang-undang yang pelbagai dalam menangani isu rogol dan zina.


Sebagai contohnya, seorang wanita yang mengandung tanpa suami tidak didakwa atas kesalahan berzina kerana wanita tersebut mungkin dirogol samada dalam keadaan sedar mahupun tidak. Dalam kes ini, penafian wanita itu mencukupi untuk menolak tuduhan zina.


Sewaktu di zaman pemerintahan Saidina Umar sendiri, beliau telah melepaskan seorang wanita yang mengandung dari tuduhan zina apabila wanita tersebut bersumpah bahawa dia dirogol sewaktu nyenyak tidur dan tidak mengetahui siapa yang merogolnya.


Undang-undang ini dibuat jelas menunjukkan bahawa sistem perundangan islam itu sebenarnya adil. Malah, jika diperhatikan tentang prasyarat untuk dijatuhkan hukuman zina sekalipun, ia penuh dengan hikmah yang boleh dijadikan pengajaran.


Empat orang saksi diperlukan untuk menuduh seseorang wanita melakukan zina. Empat orang saksi itu pula haruslah adil, bukan pelaku maksiat, bukan pembohong dan harus menyaksikan dengan jelas berlakunya penetrasi zakar ke dalam vagina.


Ia sebenarnya menunjukkan islam benar-benar menjaga kesucian wanita dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan seseorang membuat tuduhan bahawa wanita tertentu telah berzina.


Oleh itu, perlunya masyarakat memahami apa sebenarnya intipati disebalik sesuatu hukuman sebelum menyebarkan apa-apa berita mengenainya bagi mengelakkan kekeliruan yang besar terhadap islam.


Masyarakat juga wajar mendalami ilmu islam khususnya yang berkaitan hukum hudud untuk melihat keindahan hukuman yang digariskan oleh Allah S.W.T bagi menjamin keadilan manusia sejagat. Andai kita benar-benar menghayatinya, maka kita akan dapati bahawa Hudud bukanlah sesuatu yang harus ditakuti atau dihalang perlaksanaannya kerana ia penuh dengan hikmah dan keadilan.


Oleh

Bro Muhamad Na’im B. Ab Razak (jacknaim)

www.jacknaim.blogspot.com


ISLAM UNTUK SEMUA DAN INDAHNYA ISLAM DENGAN DAKWAH

Erti Hidup Dengan Memberi, Erti Bijaksana Dengan Hikmah