Oleh alFaisal
Cyberjaya
9 Mei 2008 / 3 Jamadil Awal 1429
http://demipena.blogspot.com
Saya ada terbaca sebuah tulisan yang diposkan di dalam sebuah yahoo group. Tulisan yang disiarkan oleh Utusan Online itu bertajuk `Perkataan Allah Dalam Buku Agama Kristian Boleh Mengelirukan'. Secara ringkasnya penulisnya berhujah bahawa penganut Kristian dari denomination seperti Roman Catholic tidak boleh menggunakan perkataan Allah sebagaimana saudara Kristian mereka di Arab kerana berbeza pemahaman terhadap konsep keTuhanan.
Kristian di negara Arab dikatakan memahami Allah sebagaimana umat Islam memahaminya. Dengan itu melayakan mereka menggunakan kalimah tersebut. Tidak bagi demonination lain yang berpegang kepada konsep triniti.
Saya bukan berhajat membela agama Kristian atau mengulas mengenai pandangan penulis tentang penggunaan nama Allah. Tetapi sekadar terpanggil untuk membetulkan beberapa fakta. Fakta yang pada pengamatan saya yang daif ini, kurang tepat dan melemahkan hujah. Saya merasakan perlu untuk saya adil kepada sesiapa pun tanpa mengira agama.
Dalam tulisan ini akan terdapat beberapa perkataan-perkataan yang tidak saya terjemahkan. Disebabkan saya khuatir akan memberikan terjemahan yang silap. Maka saya lebih selesa menggunakan istilah Inggeris sahaja. Saya juga menggalakkan pembaca mempunyai serba sedikit pengetahuan asas mengenai agama Kristian supaya lebih puas menikmati tulisan ini.
PENILAIAN
Penulis artikel menyebut bahawa,
"Adalah diketahui umum bahawa terdapat perbezaan tentang konsep ketuhanan dalam agama Kristian yang diamalkan oleh penganut Kristian Roman Katolik seperti yang diamalkan di negara Barat dengan konsep ketuhanan dalam agama Kristian seperti yang diamalkan oleh penganut agama Kristian di negara Arab.
Kebanyakan penganut Kristian di negara Arab adalah mengamalkan agama Kristian Timur (Eastern Church) yang berpusat di Iskandariah. Penganut Kristian Arab ini berpegang kepada konsep Unity iaitu tentang konsep ketuhanan bahawa Tuhan itu adalah yang Satu iaitu yang Esa.
Dalam Unity, kefahaman ketuhanan adalah Allah itu tidak mempunyai ciri Bapa, Anak dan Hantu Suci (Father, Son and Holy Ghost). Konsep Tuhan yang Satu ini yang digelar Unity adalah selari dengan konsep Allah yang Esa seperti yang dianuti oleh orang Islam.
Dalam konteks ini, penggunaan istilah Allah yang digunakan oleh penganut agama Kristian Timur tidak bercanggah dengan istilah Allah yang digunakan oleh umat Islam. Tiada pertentangan yang berlaku dalam hal ini."
Pertama, biar kita jelas dahulu apakah yang dimaksudkan dengan Eastern Church. The Encyclopedia of Christianity mendefinisikannya sebagai:
"Eastern Church is a relative term that goes back to the division of the - Roman Empire in 395 and denotes the church that developed in the eastern branch and that engaged in - mission beyond its borders. After the schism it came to be synonymous with Orthodoxy, in distinction from the Latin church of the West."1
Ringkasnya, Eastern Churches adalah mana-mana gereja (churches) yang tumbuh di luar empayar Rom seperti Parsi, Syiria, Armenia, Mesir, Etiopia dan India.
Sekiranya diperhalusi tidak ada satu pun daripada Eastern Church mempunyai akidah yang sama seperti Islam dalam konsep keTuhanan. John Meyendorff, seorang pakar modern Orthodox di dalam bukunya Christ in Eastern Christian Thought menjelaskan,
"The true concept of God is Trinitarian. – A little earlier we mentioned the Cyrillian christological formula – `One of the Holy Trinity suffered in the flesh.'- A formula sung at every liturgy as part of the hymm `Only Begotten Son'." 2
Sergei Nikolaevich Bulgakov di dalam The Orthodox Church juga menyebut,
"There is one fundamental Christian dogma confessed by St. peter in the name of all Apostles and thus in the name of the Church: " Thou are the Christ, the Son of the living God." This same dogma served as the subjct of the Apostles at the time of Pentecost. Jesus Christ is the eternal Word, the Son of God, Who has taken upon Himself human nature, without division or confusion, true God and true man, Who came into the world to save mankind, died on the Cross, rose again from the dead, ascended into heaven and is seated at the right hand of the Father, and Who will come again to this world for the Last Judgement and for His eternal reign. Concerning this article of faith there is no different whatever between Orthodoxy and and the belief of Catholicism or those Anglicanism - at least Anglo-Catholicism- or those of orthodox Protentantism" 3
Secara amnya, kesemua Estern Church percaya kepada keTuhanan Jesus Christ dan cuma berbeza pendapat dalam beberapa perkara berkaitan bentuk keTuhanan Jesus. Seperti dalam hal apakah Jesus adalah sepenuhnya Tuhan sahaja ATAU sepenuhnya Tuhan pada masa yang sama sepenuhnya manusia.
Maka sepatutnya yang dikatakan sebagai diketahui umum adalah bahawa samada Catholics, Protestants atau Eastern Churches dalam hal keTuhanan berkonsepkan trinitarian dan bukannya unitarian. Penulis juga menyatakan,
"Kebanyakan penganut Kristian di negara Arab adalah mengamalkan agama Kristian Timur (Eastern Church) yang berpusat di Iskandariah. Penganut Kristian Arab ini berpegang kepada konsep Unity iaitu tentang konsep ketuhanan bahawa Tuhan itu adalah yang Satu iaitu yang Esa."
Katakanlah, yang dimaksudkan penulis adalah Kristian Koptik. Atau nama yang lebih dikenali Coptic Orthodox Church of Alexandria (Iskandariah). Gereja terbesar bagi penganut Kristian di Mesir. Namun sekali lagi ianya ternyata jauh dari apa yang disebutkan penulis.
Penganut Coptic Church berfahaman bahawa Jesus Christ adalah tunggal, Tuhan sebenar dan manusia sebenar. Jesus Christ mempunyai sifat Tuhan dan juga sifat manusia.4 Pemahaman ini desebut sebagai miaphysitism, bertentangan dengan dyophysitsm yang menjadi keputusan Council of Chalcedon. Sekalipun menolak keputusan Council of Chalcedon, jelas di sini Coptic Orthodox Church of Alexandria turut menggangap Jesus Christ mempunyai sifat keTuhanan. Ini ternyata jauh sekali dengan konsep tauhid Islam.
Sememangnya terdapat mereka yang beragama Kristian berfahaman unitarian dan menolak triniti. Tetapi yang diketahui umum bahawa fahaman unitarian ini `berkembang biak' di sekitar eropah dan bukannya di negara Arab.
Oleh itu, penganut-penganut Kristian di negara Arab yang menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan. Sebenarnya masih berfahaman bertentangan dengan konsep tauhid Islam. Tidak seperti yang penulis sebutkan.
AL-QUR'AN TURUT MEREKODKAN
Selepas kita melihatnya dari sudut pandangan sejarah, mari kita lihat apa yang direkodkan al-Quran. Apakah benar penganut Kristian di tanah Arab sebenarnya berfahaman unitarian dan bukan trinitarian? Firman Allah SWT di dalam al-Qur'an,
"Wahai Ahli kitab! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al-Masih Isa Ibni Mariam itu hanya seorang Pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Mariam dan (dia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya)." [An-Nisa' 4:171]
Daripada ayat di atas kita dapat melihat bahawa Allah SWT cuba menegur pemahaman salah ahli kitab. Pemahaman bahawa Isa al-Masih atau Jesus Christ adalah lebih daripada sekadar Nabi. Dan pemahaman salah bahawa Tuhan itu tiga (triniti). Secara tidak langsung ayat di atas menampakkan bahawa fahaman triniti bukanlah sesuatu yang asing bagi kaum Kristian di tanah Arab ketika itu.
KESIMPULAN
Pandangan yang saya berikan bukanlah bertujuan merendah-rendahkan penulis artikel tersebut. Bahkan saya menghormati semangat beliau yang tidak ingin melihat ada kekalutan dan kekeliruan. Di saat sesetengah orang Islam boleh lepak sahaja tanpa hirau, beliau mencoretkan pandangan untuk dikongsi. Saya mengasihi beliau sebagai saudara Muslim saya, namun kebenaran itu lebih saya cintai. Apa yang saya pelajari dan tahu merupakan amanah untuk disampaikan.
Saya terbuka untuk sebarang perbincangan. Sebagaimana saya mempunyai tanggung jawab menegur sekiranya nampak ada perkara yang perlu diperbetulkan. Saya juga berharap ada yang membetulkan saya sekiranya tersilap.
Wallahua'lam
--------------------------------------------------------------------------
1 Fahlbusch E. & Bromiley G.W. The Encyclopedia of Christianity, Wm. B. Eerdmans Publishing, ms.867
2 Meyendorff J. Christ in Eastern Christian Thought, St. Vladimir's Seminary Press, ms.181
3 Bulgakov S.N. The Orthodox Church (Translation by Pravoslavie), St. Vladimir's Seminary Press,ms. 100-101
4 Lihat Two Thousand Years of Coptic Christianity oleh Otto Friedrich August Meinardus, American Univ in Cairo Press, ms 54.
No comments:
Post a Comment