Saturday, July 26, 2008

Injil=Bible? (Bahagian 2)

PADA bahagian pertama, kita telahpun jelas tentang apakah sebenarnya Injil dan Bible. Sekarang, bolehlah kita mengenali sedikit sebanyak senarai kitab dalam Bible bagi umat Kristian dan juga umat Yahudi kerana kedua-dua golongan ini beriman dengan Bible.

Adalah lebih baik untuk kita mulakan dengan Bible Ibrani umat Yahudi terlebih dahulu kerana kitab-kitab tersebut adalah milik mereka pada asalnya (sebelum diiktiraf sebagai OT oleh Kristianiti). Pada pendapat penulis sendiri, kita semua pasti telah mengetahui bahawa kitab yang diwahyukan kepada nabi Musa a.s. adalah kitab Taurat dan nabi Musa a.s. merupakan nabi yang teragung bagi umat Yahudi.

Penulis pernah terbaca satu artikel dalam laman web anti Islam seperti www.answering-islam.org yang menempelak al-Qur'an sebagai kitab yang ignorant (sebenarnya mereka merujuk kepada junjungan besar Rasulullah s.a.w. sendiri sebab pada pandangan mereka bagindalah yang menulis al-Qur'an).

Mereka memaparkan kesemua ayat-ayat al-Qur'an yang menceritakan kitab Taurat dan Injil berserta hubungkaitnya dengan kaum Yahudi dan Kristian. Seolah-olah al-Qur'an tidak mengetahui bahawa kaum Yahudi dan Kristian sebenarnya beriman dengan Bible yakni himpunan kitab-kitab para nabi dan bukannya Taurat (bagi Yahudi) dan Injil (bagi Kristian) sahaja. Sebagai contoh, mereka menunjukkan ayat ini:

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani mempertengkarkan tentang (agama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal? (Aali Imran:65)

Sebelum kita pergi lebih jauh lagi tentang apakah yang dimaksudkan dengan Taurat itu mengikut persepsi Islam dan Yahudi, marilah kita merenung ayat al-Qur'an ini:

Bandingan orang-orang (Yahudi) yang dipertanggungjawabkan Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab itu, maka samalah seperti keldai yang memikul bendela kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang zalim. (al-Jum'ah:5)

Dalam ayat di atas, Allah s.w.t. menempelak kaum Yahudi yang dipertanggungjawabkan dengan kitab Taurat tetapi tidak amanah dalam memikul tanggung jawab itu. Mereka diumpamakan oleh Allah s.w.t. laksana himar atau keldai yang tiada akal yang hanya tahu memikul bebanan berupa kitab-kitab besar tanpa mengetahui apa-apapun di sebalik tugasan atau tanggung jawab yang diberikan.

Suatu yang menarik yang dapat kita kenal pasti dalam ayat di atas ialah perumpamaan yang dibuat Allah s.w.t. terhadap umat Yahudi dan tanggung jawab mereka untuk kitab Taurat sebagai keldai yang memikul bendela kitab-kitab besar. Jika Yahudi yang tidak amanah itu adalah keldai, maka kitab Taurat yang dipertanggungjawabkan tersebut pula ialah bendela kitab-kitab besar. Beginilah secara ringkasnya yang dapat disimpulkan.

Baiklah, sekarang marilah kita mengenali dengan lebih dekat lagi tentang apakah sebenarnya Taurat di sisi umat Yahudi. Bagi umat Yahudi, "Torah" (Taurat) dalam bahasa Ibrani secara literalisnya bererti Hukum-Hakam atau Undang-Undang (The Law) dan juga Pengajaran. Ia meliputi kesemua kompendium kitab suci umat Yahudi sama ada yang bertulis atau yang lisan dan bukanlah semata-mata merujuk kepada kitab Taurat yang dinuzulkan kepada Musa a.s. di Gunung Sinai sahaja.

Terdapat dua jenis Taurat dalam ajaran Yahudi iaitu Torah She Bi Khtav (Taurat Bertulis/Written Law) dan Torah She Be 'Al Peh (Taurat Lisan/Oral Law).

Torah She Bi Khtav inilah yang dipanggil Bible Ibrani dan juga Perjanjian Lama (OT) oleh Kristianiti. Bagaimanapun, lazimnya umat Yahudi mengenalinya dengan nama TaNa''KH iaitu akronim bagi tiga bahagian utama Bible ini-Torah, Nevi'im dan Ketuvim. Tradisi Yahudi mengatakan bahawa kitab-kitab yang sebanyak 24 buah ini telah dikumpulkan sekitar tahun 450 SM lagi oleh Anshei Knesset HaGedolah (Para Tua Muktamar Agung) yang dipimpin oleh Rabbi Yokhanan ben Zakkai.

Bahagian pertama ialah Torah proper (Taurat yang kita percaya sebagai kitab yang dinuzulkan kepada nabi Musa a.s.). Dalam kalangan Yahudi, ia dipanggil Torah le Moshei Rabbeinu Mi Sinai (Taurat untuk Musa Mahaguru Kita dari Sinai), Torah HaKhumash (Taurat yang Lima) ataupun Khamishei Khumshei Torah (Lima [Kitab] dari Lima yang Pertama Taurat). Secara ringkasnya, ia digelar sebagai HaKhumash (Yang Lima) atau Sefer Torah (Kitab Taurat) sahaja.

Umat Yahudi percaya bahawa Taurat yang diwahyukan kepada Musa itu termaktub dalam 5 buah kitab yang ditulis oleh nabi Musa sendiri dalam tempoh yang berlainan sehinggalah baginda wafat. Kitab ini menceritakan zaman permulaan dunia ini diciptakan, kisah Adam dan Hawa, Qabil dan Habil, kisah nabi Nuh, nabi Ibrahim dan keluarganya, nabi Ya'akub dan keluarganya, kisah bani Israel sehinggalah kewafatan baginda sendiri (kononnya, kisah yang menceritakan kewafatan nabi Musa itu ditambah oleh muridnya iaitu nabi Yusha') di samping merakamkan hukum-hakam yang diwahyukan kepada Musa.

Bahagian Pertama:Sefer Torah (Kitab Taurat):

1. Beresheit (Pada Mulanya)-Kejadian (Genesis)

2. Shemot (Nama-Nama)-Keluaran (Exodus)

3. Vai Yiqra (Dan Dia Berfirman)-Imamat (Leviticus)

4. Be Midbar (Di Padang Pasir)-Bilangan (Numbers)

5. Devarim (Firman-Firman)-Ulangan (Deuteronomy)

nota: Ini adalah nama-nama kitab dalam Ibrani berserta maksudnya secara harfiah, dan juga nama-nama mengikut panggilan orang-orang Kristian dalam OT menurut bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Bahagian kedua bagi TaNa''KH ialah Nevi'im (Para Anbiya'). Dinamakan sebagai Nevi'im kerana ia menghimpunkan kitab para nabi selepas Musa. Terdapat 8 buah kitab besar dalam bahagian ini. Bahagian Nevi'im dibahagikan pula kepada 2 bahagian kecil iaitu Nevi'im Rishonim (Nabi-Nabi Salafi/Terdahulu) dan Nevi'im Akharonim (Nabi-Nabi Khalafi/Terkemudian). Sementara Nevi'im Akharonim pula diklasifikasikan pula kepada 2 bahagian lagi iaitu Nevi'im Gedolim (Nabi-Nabi Major/Besar) dan Nevi'im Ketanim (Nabi-Nabi Minor/Kecil). Kitab-kitab ini menceritakan perihal kehidupan dan dakwah serta nubuat para nabi selepas nabi Musa a.s.

Bahagian Kedua:Nevi'im (Para Anbiya'):

A. Nevi'im Rishonim (Nabi-Nabi Salafi/Terdahulu):

1. Sefer Yehoshua' (Kitab Yusha')-Yoshua (Joshua)

2. Sefer Shofetim (Kitab Para Hakim)-Hakim-Hakim (Judges)

3. Sefer Shemuel (Kitab Samuel)-Samuel (Samuel):

i. Sefer Shemuel Alef (Kitab Samuel 1)-1 Samuel (Samuel I)
ii. Sefer Shemuel Bet (Kitab Samuel 2)-2 Samuel (Samuel II)

4. Sefer Melakhim (Kitab Para Raja)-Raja-Raja (Kings):

i. Sefer Melakhim Alef (Kitab Para Raja 1)-1 Raja-Raja (Kings I)
ii. Sefer Melakhim Bet (Kitab Para Raja 2)-2 Raja-Raja (Kings II)


B. Nevi'im Akharonim (Nabi-Nabi Khalafi/Terkemudian):

I. Nevi'im Gedolim (Nabi-Nabi Major/Besar):

5. Sefer Yesha'ayahu (Kitab Yesaya)-Yesaya (Isaiah)

6. Sefer Yirmeyahu (Kitab Irmia)-Yermia (Jeremiah)

7. Sefer Yekhezqiel (Kitab Hizqil)-Yehezkiel (Ezekiel)


II. Nevi'im Ketanim (Nabi-Nabi Minor/Kecil):

8. Sefarim Nevi'im Trei Asar (Kitab-Kitab 12 Para Nabi):

i. Sefer Hoshea' (Kitab Hosea)-Hosea (Hosea)
ii. Sefer Yoel (Kitab Yoel)-Yoel (Joel)
iii. Sefer 'Amos (Kitab 'Amos)-Amos (Amos)
iv. Sefer 'Ovadyah (Kitab Obadiah)-Obaya (Obadiah)
v. Sefer Yonah (Kitab Yunus)-Yunus (Jonah)
vi. Sefer Mikhah (Kitab Mikah)-Mikhah (Micah)
vii. Sefer Nakhum (Kitab Nahum)-Nahum (Nahum)
viii. Sefer Khavaqquq (Kitab Habakuk)-Habakuk (Habakkuk)
ix. Sefer Tsefan'yah (Kitab Sefaniah)-Zefania (Zephaniah)
x. Sefer Khaggai (Kitab Hajai)-Hagai (Haggai)
xi. Sefer Zekharyah (Kitab Zakaria)-Zakaria (Zechariah)
xii. Sefer Mal'akhi (Kitab Malaki)-Maleakhi (Malachi)

nota: Ini adalah nama-nama kitab dalam Ibrani berserta maksudnya secara harfiah, dan juga nama-nama mengikut panggilan orang-orang Kristian dalam OT menurut bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kitab Samuel dan Kitab Para Raja masing-masing terdiri daripada 2 buah kitab kecil. Kitab-Kitab 12 Para Nabi adalah kitab-kitab kecil yang dibukukan menjadi satu kitab sahaja di mana, ia selalunya dipanggil dengan nama Trei Asar (Yang Dua Belas) sahaja.

Bahagian ketiga TaNa''KH pula ialah Ketuvim (Karangan-Karangan/Kitab-Kitab). Terdapat 11 buah kitab besar dalam bahagian ini. Bahagian Ketuvim terbahagi kepada 3 kumpulan kecil iaitu Liturgiyah (Kesusasteraan), Megillot HaKhumash (Skrol-Skrol yang Lima) dan Historiyah (Sejarah). Kitab-kitab ini mempunyai gaya bahasa kesusasteraan yang berbentuk nyanyian dan syair.

Bahagian Ketiga:Ketuvim (Karangan-Karangan/Kitab-Kitab):

A. Liturgiyah (Kesusasteraan):

1. Sefer Tehilim/Mizmor le David (Kitab Puji-Pujian/Zabur/Mazmur Daud)-Zabur/Mazmur (Psalms)

2. Sefer Mishlei (Kitab Perumpamaan-Perumpamaan)-Amsal (Proverbs)

3. Sefer 'Iyov (Kitab Ayub)-Ayub (Job)


B. Megillot HaKhumash (Skrol-Skrol yang Lima):

4. Sefer Shir HaShirim (Kitab Nyanyian Segala Nyanyian)-Kidung Agung (Songs of Solomon)

5. Sefer Rut (Kitab Rut)-Ruth (Ruth)

6. Sefer Eikhah (Kitab Ratapan;Literalisnya: Bagaimana)-Ratapan (Lamentation)

7. Sefer Qohelet (Kitab Khutbah;Literalisnya: Dia Menghimpunkan)-Pengkhutbah (Ecclesiastes)

8. Sefer Ester (Kitab Astar)-Esther (Esther)


C. Historiyah (Sejarah):

9. Sefer Daniyel (Kitab Daniel)-Daniel (Daniel)

10. Sefer 'Ezra u Nekhemyah (Kitab Uzair dan Nehemiah):

i. Sefer 'Ezra (Kitab Uzair)-Ezra (Ezra)
ii. Sefer Nekhemyah (Kitab Nehemiah)-Nehemiah (Nehemiah)

11. Sefer Divrei HaiYamim (Kitab Kisah-Kisah Segala Zaman)-Tawarikh (Chronicles):

i. Sefer Divrei HaiYamim Alef-1 Tawarikh (Chronicles I)
ii. Sefer Divrei HaiYamim Bet-2 Tawarikh (Chronicles II)

nota: Ini adalah nama-nama kitab dalam Ibrani berserta maksudnya secara harfiah, dan juga nama-nama mengikut panggilan orang-orang Kristian dalam OT menurut bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kitab Kisah-Kisah Segala Zaman terdiri daripada 2 buah kitab kecil.

Jadi, TaNa''KH ini mempunyai 24 buah kitab besar; 5 buah kitab dari Sefer Torah, 8 buah kitab dari Nevi'im dan 11 buah kitab dari Ketuvim. Kristianiti tiada pengklasifikasian untuk Perjanjian Lama sebagaimana pengklasifikasian kitab dalam TaNa''KH di atas. Ia menjadikan setiap kitab dalam TaNa''KH sebagai kitab yang solo dan sama taraf, tidak kira yang besar atau yang kecil. Sebab itulah dalam Perjanjian Lama (bagi Kristianiti Protestant), terdapat 39 buah kitab walaupun sebenarnya sama sahaja nama-nama dan isi kandungan dengan 24 buah kitab dalam TaNa''KH (Bible Ibrani) umat Yahudi.

Sekarang, kita akan beralih pula kepada Torah She Be 'Al Peh. Ia adalah Taurat Lisan (Oral Law) yang kita kenalinya dengan nama kitab Talmud. Talmud adalah lebih besar kepentingan dan isi kandungannya daripada TaNa''KH.

Secara lengkapnya, Talmud terdiri daripada dua bahagian. Bahagian pertama ialah bahagian yang disepakati (Mehanneh) manakala bahagian yang kedua ialah bahagian yang tidak disepakati (Natunneh; maknanya boleh didebati). Bahagian yang disepakati ialah Mishnah dan Gemarah manakala bahagian yang tidak disepakati pula ialah Baraitah dan Toseftah.

Tradisi Yahudi mendakwa bahawa semasa Musa menerima Torah HaKhumash yang mengandungi hukum-hakam secara bertulis daripada Tuhan, baginda juga menerima hukum-hakam secara lisan daripada-Nya, iaitu penjelasan yang panjang lebar daripada Tuhan sendiri berkenaan syariat yang termaktub dalam Taurat. Hal ini kerana mereka mengatakan bahawa Musa boleh berkata-kata dengan Tuhan secara terus apabila baginda ingin berbuat demikian.

Bagi umat Yahudi, penjelasan hasil daripada komunikasi antara Musa dan Tuhan inilah yang dinamakan sebagai Mishnah (Ulangan) yakni ulangan kepada Taurat yang Lima berserta dengan penjelasan daripada Tuhan sendiri. Penjelasan secara lisan berbentuk seperti "hadith" ini kemudiannya diwariskan oleh Musa kepada Yehoshua' (Nabi Yusha'), dan selepas itu diwariskan pula kepada Avotei Yisroel HaQedushah (Leluhur Bani Israel Yang Mulia), kemudian kepada para Nevi'im (Para Anbiya' selepas Musa) dan Shofetim (Hakim-Hakim) dan kemudian kepada Anshei Knesset Hagedolah (Para Tua Muktamar Agung) dan akhirnya kepada Zugot (pendeta-pendeta yang hidup di zaman kewujudan Haikal Sulaiman ke-2).

Kononnya, kesemua penjelasan ini diturunkan dengan sanad daripada generasi kepada generasi dengan tambahan sabda-sabda setiap tabaqah atau generasi yang menerima hadith tersebut sebagai penjelasan. Kemudian, ulama-ulama Tannaim (ulama Mishnah, iaitu para rabbi yang hidup semasa 70-200 M) merasakan kepentingan "hadith-hadith" Mishnah ini agar ia tidak pupus maka mereka mencatatkannya dan dikumpulkannya dengan klasifikasi yang sistematik. Himpunan Mishnah yang telah diklasifikasikan ini dinamakan Shesha Sedarim (Enam Aturan/Tertib) atau secara ringkasnya dipanggil SHa"S

Setiap Sidrah (Aturan, kata tunggal bagi Sedarim) terdiri daripada bebearapa Masekhet (kata jamaknya ialah Masekhtot) iaitu Kitab Kecil (Tractate) dan setiap Masekhet pula mempunyai beberapa Peraqim (kata banyak bagi Pereq yang bermaksud Surah atau Bab). Setiap Pereq terdiri daripada Perashiyot Mishnah (Ayat-Ayat Mishnah) atau lebih ringkasnya Mishnayot (kata jamak bagi Mishnah).

Shesha Sedarim ba Mishnah (Enam Aturan/Tertib dalam Mishnah):

Sidrah 1. Zera'im (Benih-Benih)-Hukum-hakam mengenai Sembahyang, Zikir, Doa, Hal Ehwal Pertanian etc:

1. Masekhet Berakhot (Kitab Berkat)
2. Masekhet Pe'ah (Kitab Lapangan Pertanian)
3. Masekhet Demai (Kitab Hasil Pertanian Shubhah)
4. Masekhet Kil'ayim (Kitab Tanaman Heterogenous)
5. Masekhet Shevi'it (Kitab Tahun Ketujuh)
6. Masekhet Terumot (Kitab Sumbangan)
7. Masekhet Ma'aserot (Kitab Cukai)
8. Masekhet Ma'aser Sheni (Kitab Cukai Kedua)
9. Masekhet Kallah (Kitab Roti Khallah)
10.Masekhet Orlah (Kitab Pohon Berbuah)
11. Masekhet Bikkurim (Kitab Buah-Buahan Pertama)

Sidrah 2. Mo'ed (Perayaan)-Hukum-hakam mengenai Hari Sabbat, Puasa, Haji dan Perayaan-Perayaan:

1. Masekhet Shabbat (Kitab Hari Sabbat)
2. Masekhet 'Eruvin (Kitab Shubhah)
3. Masekhet Pesakhim (Kitab Hari Raya Pesakh)
4. Masekhet Shekalim (Kitab Shekel)
5. Masekhet Yoma (Kitab Hari Kifarah)
6. Masekhet Sukkah (Kitab Hari Raya Sukkah)
7. Masekhet Beitsah (Kitab Telur)
8. Masekhet Rosh Hashanah (Kitab Hari Tahun Baru)
9. Masekhet Ta'anit (Kitab Puasa)
10. Masekhet Megillah (Kitab Skrol)
11. Masekhet Mo'ed Katan (Kitab Perayaan Minor)
12. Masekhet Khagigah (Kitab Haji)

Sidrah 3. Nashim (Wanita-Wanita)-Hukum-hakam mengenai Perkahwinan, Perceraian, Kewanitaan, Kerahiban etc:

1. Masekhet Yevamot (Kitab Perkahwinan Levirate)
2. Masekhet Ketubot (Kitab Perjanjian Perkahwinan)
3. Masekhet Nedarim (Kitab Akad)
4. Masekhet Nazir (Kitab Kerahiban)
5. Masekhet Sotah (Kitab Isteri Nusyuz)
6. Masekhet Gittin (Kitab Talak)
7. Masekhet Kiddushin (Kitab Pertunangan)

Sidrah 4. Nezikin (Jenayah)-Syariat tentang Undang-Undang Sivil dan Kriminal, Sumpah, Fungsi Mahkamah, Saksi etc:

1. Masekhet Bava Qamma (Kitab Pintu Pertama)
2. Masekhe Bava Metzia (Kitab Pintu Tengah)
3. Masekhe Bava Batra (Kitab Pintu Terakhir)
4. Masekhe Sanhedrin (Kitab Muktamar Sanhedrin)
5. Masekhe Makkot (Kitab Sebatan)
6. Masekhe Shevu'ot (Kitab Sumpah)
7. Masekhe 'Eduyot (Kitab Saksi)
8. Masekhe Avodah Zarah (Kitab Ibadah Syirik)
9. Masekhe Avot (Kitab Leluhur)
10. Masekhe Horayot (Kitab Pemutusan)

Sidrah 5. Qodashim (Kesucian-Kesucian)-Hukum-hakam mengenai Korban, Sembahan, Penyembelihan, Makanan Kosher, Haikal etc:

1. Masekhet Zevakhim (Kitab Korban)
2. Masekhet Menakhot (Kitab Gandum)
3. Masekhet Khullin (Kitab Sembelihan)
4. Masekhet Bekhorot (Kitab Anak Sulung)
5. Masekhet Arakhin (Kitab Sembahan)
6. Masekhet Temurah (Kitab Penggantian)
7. Masekhet Keritot (Kitab Pengeluaran)
8. Masekhet Me'ilah (Kitab Kerosakan)
9. Masekhet Tamid (Kitab Harian)
10. Masekhet Middot (Kitab Ukuran)
11. Masekhet Qinnim (Kitab Sarang Burung)

Sidrah 6. Tohorot (Purifikasi-Purifikasi)-Hukum-hakam berkaitan Haid, Nifas, Hadas, Janabah etc:

1. Masekhet Keilim (Kitab Bekas)
2. Masekhet Oholot (Kitab Khemah)
3. Masekhet Nega'im (Kitab Wabak)
4. Masekhet Parah (Kitab Lembu Betina)
5. Masekhet Tohorot (Kitab Purifikasi)
6. Masekhet Mikva'ot (Kitab Upacara Mandian)
7. Masekhet Niddah (Kitab Haid)
8. Masekhet Makhshirin (Kitab Persediaan)
9. Masekhet Zavim (Kitab Mani)
10. Masekhet Tevul Yom (Kitab Hari Permandian)
11. Masekhet Yadayim (Kitab Tangan)
12. Masekhet Uktsim (Kitab Tangkai)

Mishnah-Mishnah yang terbuku sebagai SHa''S ini kemudiannya ditafsirkan pula oleh ulama-ulama Amoraim (ulama Gemarah, iaitu para rabbi yang hidup semasa 200-500 M) yang himpunan tafsirannya dinamakan Gemarah. Mishnah dan Gemarah adalah dua bahagian yang disepakati oleh para rabbi (Mehanneh).

Sebelum itu, terdapat syarah-syarah ulama Tannaim dalam menguatkan kesahihan Mishnah-Mishnah tersebut dan kumpulah syarah-syarah itu dinamakan Baraitah. Maka, ulama-ulama Amoraim yang menafsirkan Mishnah telah mensyarahkan Baraitah terlebih dahulu dan syarahan terhadap Baraitah ini dinamakan Toseftah (Tambahan). Baraitah dan Toseftah adalah dua bahagian yang tidak sepakati oleh para rabbi (Natunneh). Maka dua bahagian ini dianggap kandungan Talmud yang external sahaja. Bagaimanapun, ia tetap dianggap signifikan dalam penghujahan mereka.

-bersambung-

No comments:

ISLAM UNTUK SEMUA DAN INDAHNYA ISLAM DENGAN DAKWAH

Erti Hidup Dengan Memberi, Erti Bijaksana Dengan Hikmah