Tuesday, July 8, 2008

Injil=Bible? (Bahagian 1)

DALAM mendalami ilmu perbandingan agama, kita memang tidak dapat lari daripada pengkajian terhadap kitab-kitab agama kerana dari skop inilah asas-asas sesuatu agama itu terpahat. Dengan kata lain, kitab suci sesuatu agama itulah yang memberi inti-pati terpenting dan tersendiri untuk mengenali agama tersebut.

Antara agama yang major di dunia ini ialah agama Kristianiti. Sememangnya suatu kebiasaan yang lazim bagi kita untuk mengatakan kitab suci bagi agama Kristianiti adalah kitab Injil (yang telah jauh terpesong dan korup). Hal ini kerana dalam al-Qur'an sendiripun ada menyebut tentang kitab Injil:

Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya dan Dia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil. (Aali Imran:3)

...Dan sesudah dewasa dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu (hai Isa a.s.) menulis, membaca serta hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil... (al-Ma'idah:110)

Dan Allah akan mengajarnya (Isa a.s.) ilmu menulis dan hukum-hukum aturan agama dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil. (Aali Imran:48)

Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik. (al-Ma'idah:47)

Bagaimanapun, adakah benar Injil yang disebut di dalam al-Qur'an adalah sama dengan Bible yang diimani oleh sekalian umat Kristian kini (tanpa mengira perbezaan denominasi dan mazhab)? Sebenarnya, terdapat sedikit kekeliruan yang bagaimanapun amat signifikan dalam mempengaruhi kefahaman kita untuk mendalami ajaran Kristianiti demi da'awah Islamiyah terhadap para penganut Kristian.

Sebagaimana yang kita ketahui, kitab Injil dan kitab-kitab anbiya' yang sebelumnya telahpun mengalami tahrif, yakni diedit, diubah, ditokok tambah atau dipadam sesetengah ayat di dalam kitab-kitab itu. Di sini, timbul pula pemahaman dalam kalangan kita bahawa pendeta-pendeta Kristian telah merosakkan dan mengubah Injil yang asal, lalu jadilah dengan apa yang dikenali kini sebagai Bible. Akan tetapi, pendapat ini juga tidak tepat pada asasnya walaupun memang benar bahawa Injil yang asal telahpun tiada.

Oleh sebab Injil dan Bible itu merupakan dua entiti yang berlainan dari aspek tarafnya, maka kedua-duanya tidak boleh disama-ertikan atau dibandingkan dari sudut inti-pati, sejarah kewujudan dan sejarah survival (nasibnya dalam mengalami tahrifan)

Apakah sebenarnya Injil dan apakah sebenarnya Bible?

Injil secara harfiahnya merupakan suatu derivasi kontraktif daripada perkataan Yunani "Evangel" yang sama erti dengan perkataan Arab "Busyra" (Berita Baik atau Berita Gembira).

-Dalam tradisi Kristianiti, Isa sememangnya dinisbahkan sebagai pembawa Berita Gembira, iaitu sebagai al-Masih (Juruselamat/Penyelamat) yang diturunkan ke dunia sebagai Korban (Sacrifice) untuk Penebusan Dosa Asal (Original Sin) manusia yang diwarisi turun-temurun semenjak Adam. Yang sebenarnya, dari perspektif Islam, Berita Gembira itu adalah kedatangan nabi Muhammad s.a.w. sendiri sebagai Khatamul Anbiya' (Penutup Sekalian Nabi) dan perihal kedatangan baginda sememangnya telahpun diceritakan dalam Injil yang asal.-

Dari konteks Islam, secara Istilahnya, al-Qur'an memberikan definisi sebenar Injil itu:

Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Mariam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayat dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa. (al-Ma'idah:46)

Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Mariam berkata: Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat dan memberikan Berita Gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama: Ahmad, iaitu ketika dia datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: Ini ialah sihir yang jelas nyata! (as-Saff:6)

Dari konteks Kristianiti pula, Injil lebih lazim dipanggil "Gospel" (God's Spell), suatu perkataan Inggeris Lama (Old English) dan Yunani yang juga bererti Berita Baik. Perkataan Gospel yang merujuk kepada kitab yang diwahyukan kepada Isa pertama kali digunakan oleh Saint Paul (Rasul Paulus) dalam kitab Corinthians (Korintus):

Dan sekarang wahai saudara-saudara, aku mahu mengingatkan kamu kepada Gospel yang aku beritakan kepadamu, yang kamu terima, yang di dalamnya kamu teguh berdiri. (Korintus:15:1)

Jumhur Kristianiti mendefinisikan Injil sebagai salah sebuah daripada empat kitab kanonikal (kitab yang sah) daripada Perjanjian Baru yang mengandungi kisah kelahiran, kehidupan, dakwah, peyaliban dan penghidupan semula Isa. Kitab-kitab tersebut ialah Injil Matius, Injil Markus, Injil Lukas dan Injil Yohanes yang tertulis dalam tempoh 65-100 Masihi.

Orang-orang Kristian menganggap Injil-Injil ini ditulis oleh Hawariyun atau orang-orang yang terdekat dengan Isa (sebab itulah Injil dinamakan mengikut nama penulisnya) selepas ketiadaan Isa. Perkara ini agak tidak logik kerana lebih 30-70 tahun setelah ketiadaan Isa barulah kitab-kitab itu wujud.

Malah, golongan teologi yang mengkaji tentang Injil mendapati ada beratus-ratus Injil yang tertulis setelah ketiadaan Isa (setelah Isa hidup kembali dan naik ke langit) beratus-ratus tahun lamanya. Sehingga kini, ada lebih 30 buah Injil yang wujud akan tetapi yang diiktiraf dalam senarai Kanon (kitab-kitab yang sah sebagai wahyu) hanyalah empat buah.

Oleh itu, mereka berpendapat bahawa Injil sebenarnya adalah kitab yang tidak pernah tertulis di zaman Isa kerana Isa menyebarkan dakwahnya secara lisan (Parables). Injil yang wujud kini tidak lebih daripada penulisan semula oleh orang-orang lain yang tidak pernah bertemu dengan Isa sendiri mahupun para Apostles (Hawariyun) dan orang-orang yang terdekat dengan Isa.

Penulisan itu juga lebih kepada pemahaman dan idea-idean penulis itu sendiri terhadap Parables yang diketahuinya. Tidak hairanlah setiap injil tersebut berbeda antara satu dengan yang lainnya. Hal ini kerana antara ajaran terpenting Kristianiti ialah Roh Kudus (Holy Spirit) boleh menyertai sesiapa sahaja dalam kalangan umat Kristian dalam memberi wahyu (Revelation).

Sebab itulah injil-injil itu lebih tepat dikenali sebagai "According to" eg. According to Matthew; According to Mark; According to Luke etc dan bukannya "Gospel of" kerana memang tidak dapat dibuktikan sama ada benarkah mereka menulis kitab-kitab Injil yang bercanggah antara satu sama lain itu.

Bagaimana pula dengan Bible? Bible adalah perkataan yang tidak pernah wujud dalam Taurat, Zabur mahupun Injil. Ia berasal daripada perkataan Yunani "Biblia" yang literalisnya bererti kompilasi atau himpunan buku. Sebab itulah ia juga digelar the Book of Books.

Bible bukanlah bermaksud Injil bahkan ia adalah himpunan kitab-kitab yang diiktiraf sebagai kitab-kitab wahyu daripada Tuhan mengikut persidangan-persidangan yang diadakan. Kedua-dua agama Yahudi (Judaism) dan Kristianiti menganggap Bible sebagai kitab suci mereka.

Bible umat Yahudi dikenali sebagai Hebrew Bible (Bible Ibrani) yang mengandungi 24 buah kitab suci termasuklah Taurat (Torah) dan Zabur (Psalm). Kitab-kitab ini diiktiraf sebagai kitab wahyu Judaism dalam Persidangan Yavneh (Council of Jamnia or Yavneh) pada akhir kurun pertama, setelah Jerusalem dimusnahkan pada 70 Masihi oleh Kerajaan Rom. Tokoh yang bertanggung jawab dalam hal ini ialah Rabbi Yochanan ben Zakkai.

Manakala Bible umat Kristian pula terdiri daripada dua bahagian. Bahagian pertama dikenali sebagai Perjanjian Lama (Old Testament, OT) sementara bahagian yang kedua pula ialah Perjanjian Baru (New Testament, NT).

Kitab-kitab yang terkandung dalam OT adalah sama dengan kitab-kitab yang terkandung dalam Hebrew Bible umat Yahudi. Dengan kata lain, Kristianiti mengiktiraf kitab-kitab suci umat Yahudi (Taurat, Zabur dan lain-lain) ini sebagai kitab-kitab suci kepunyaan mereka juga. OT dianggap sebagai gabungan kitab ramalan (Prophecies) yakni nubuat-nubuat tentang kedatangan Isa sebagai al-Masih.

Manakala NT pula adalah kumpulan kitab-kitab Injil (Gospel yang empat), kitab para Hawariyun (Acts of Apostles), Surat-Surat dakwah Saint Paul kepada komuniti-komuniti atau kumpulan-kumpulan tertentu dalam menyebarkan ajarannya (Pauline Epistles), Surat-Surat dakwah Gereja (Catholic Epistles) dan kitab Wahyu (Revelation).

Kitab-kitab NT ini dianggap sebagai kitab penggenapan Berita Gembira yang menjadi bukti kenyataan segala ramalan atau nubuat yang terdapat dalam OT. Sejarah Kanonisasi (Pengiktirafan Kitab) setiap kitab dalam NT amat kompleks dan rumit disebabkan terdapat banyak persidangan-persidangan gereja dalam menerima atau menolak sesetengah Injil atau kitab lainnya.

Di sini kita amat jelas bahawa Bible bukanlah kitab yang diturunkan kepada Isa. Bible adalah kumpulan kitab-kitab terdahulu, tidak kiralah sama ada kitab para nabi (OT) yang telah terpesong ataupun kitab-kitab yang dikarang oleh manusia biasa yang beranggapan mereka disinggahi dan diwahyukan oleh Roh Kudus (NT).

Dalam 'Denver Buletin'- Mac 1995, jilid 3, no. 3, tertulis:

"Landasan perjalanan gereja tidak didasarkan kepada kitab Bible kerana isi Bible ditentukan oleh pihak gereja. Pada abad-abad awal agama Kristian, tidak ada seorang manusiapun yang dapat menyentuh kitab yang bernama 'Bible' kerana ia memang tidak wujud." (His Eminence Metropolitan Isaiah of Proikonisou and Presiding Hierarch of Greek Orthodox Diocese of Denver)

Walaupun mereka beriman kepada Bible, golongan Yahudi dan Kristian serta para pendukung pecahan-pecahan denominasi dalam Kristianiti sendiri berbeza pendapat dan saling tidak mengiktirafi antara satu sama lain dalam mengkanonisasikan sesuatu kitab itu sebagai senarai kitab yang sah di dalam Bible.

Umat Yahudi tidak mengiktiraf seluruh NT manakala umat Kristian pula merendahkan Bible Ibrani sebagai OT sahaja di sisi mereka. Gereja Katolik mengiktiraf beberapa kitab-kitab yang tidak diiktiraf Judaism (Apocrypha) manakala Gereja Protestant menolak kitab-kitab tersebut. Terdapat firkah atau mazhab Kristian seperti Mormon yang memperkenalkan kitab baru dalam Bible yang tersendiri seperti kitab Mormon yang tiada hubungkait langsung dengan ajaran para nabi terdahulu.

Fenomenon ini telah wujud semenjak dahulu lagi sehinggakan semasa kedatangan Islam, Allah menceritakan di dalam al-Qur'an:

Dan orang-orang Yahudi berkata: Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar) dan orang-orang Nasrani pula berkata: Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar); padahal mereka membaca al-Kitab... (al-Baqarah:111)

al-Kitab di sini merujuk kepada Bible itu sendiri dan sehingga kinipun, dalam kalangan umat Kristian berbangsa Arab dan Indonesia, serta Yahudi yang berbahasa Arab, Bible dikenali sebagai al-Kitab. Malah, umat Kristian dan Yahudi dipanggil "Ahlul Kitab" di dalam al-Qur'an yang secara harfiahnya bererti ahli Bible.

Di sini, antara kesimpulan yang kita dapat ialah:

1. Injil bukanlah Bible tetapi sebahagian daripada Bible, iaitu di bawah bahagian NT.

2. Injil semasa di zaman Isa a.s. bukanlah sebuah kitab yang kita boleh nampak, pegang dan baca akan tetapi ia wujud secara lisan. Injil yang lengkap tidak pernah wujud secara fizikal.

3. Kitab Injil mengalami tahrif yang ekstrem sebaik sahaja ia dibukukan oleh sebilangan orang (dengan gaya bahasa dan pemahaman sendiri) yang tidak pernah berjumpa dengan Isa a.s. sendiri. Malah, setelah itupun proses edit mengedit masih wujud sehingga kini.

4. Bible merupakan himpunan kitab-kitab yang diiktiraf sah sebagai wahyu dan ia ditentukan melalui beberapa persidangan.

5. Umat Yahudi dan Kristian (serta denominasi Kristian yang lain) mempunyai kriteria dan klasifikasi tersendiri dalam mengiktiraf sesuatu kitab dalam senarai di bawah Bible.

No comments:

ISLAM UNTUK SEMUA DAN INDAHNYA ISLAM DENGAN DAKWAH

Erti Hidup Dengan Memberi, Erti Bijaksana Dengan Hikmah