Oleh: Bro Faisal (FCR Alumni)
"Weh, Michael Jackson dah masuk Islam", Rahmat memberitahu dalam keadaan yang masih sememeh kerana baru bangun tidur.
"Eh tu bukan dah lama ke?" Saya bertanya.
"Dulu tu tak confirm, ni betul-betul confirm. Brother Masyuri YM aku ni", jawab Rahmat.
"Oh betul lah yang dulu tu aku baca pasal dia nak belajar Islam", selepas saya membaca berita tersebut di skrin laptop saya.
Saya meraikan kembalinya Michael Jackson kepada fitrah Islam sebagaimana hati gembira menerima berita-berita kembalinya saudara-saudara lain kepada Islam.
Bagi yang masih tidak faham mengapa saya menggunakan perkataan kembali. Ini kerana saya percaya setiap manusia itu lahir dalam keadaan fitrah, suci, bersih. Dalam keadaan Islami. Namun ibubapanya yang membesarkan manusia tersebut samada kekal dalam fitrah atau jauh darinya.
Malah mungkin kembalinya Michael akan membenihkan persoalan kepada yang masih belum mengenali wajah asli Islam. Untuk mengetahui mengapa seseorang itu sanggup keluar dari `zon selesa' dan memilih agama yang sering dihujani tanggapan negatif. Ini adalah peluang bagi umat Islam untuk memperkenalkan apakah itu Islam. Sebagaimana kisah Bilal Chin.
Akan tetapi, yang membuatkan hati membuak adalah respon yang saya baca terhadap berita tersebut. Komen-komen berprasangka kononnya beliau kembali kepada Islam kerana ingin melepaskan diri daripada kes mahkamah. Tidak ketinggalan yang berspekulasi beliau memeluk Islam kerana beliau akan ke mahkamah dan itu akan memburukkan imej Islam.
Ini mengingatkan saya kepada perbincangan saya dengan seorang saudara di forum maya. Milik sebuah organisasi (ada yang kata mereka gangster), yang tebal sentimen kemelayuannya. Saudara tersebut menyatakan bahawa mereka-mereka yang berbangsa cina kembali kepada Islam, tidak lain kerana nak mudah mendapat kontrak. Juga kerana hendak melepaskan diri daripada masalah kewangan semata.
Pada ketika itu saya akui, darah agak mendidih melihat sikap sebegitu.
Cukuplah dengan kelembapan kita memperjelaskan wajah Islam kepada bukan Islam. Wujud pula sikap sebegini membarah dalam diri manusia yang mengaku berTuhan dengan sebenar-benar tauhid. Itukah ajaran Tuhan melalui tauladan Nabi-Nya?
Di dalam sebuah perperangan, Usamah bin Zaid R.A telah berdepan dengan seorang lelaki. Lelaki tersebut kemudiannya mengucap "La ilaha il Allah".
Namun beliau tetap membunuhnya. Apabila kembali kepada Rasulullah SAW, Usamah menceritakan peristiwa tersebut.
"Adakah kamu membunuhnya sesudah dia mengucap La ilaha il Allah?" Nabi SAW bertanya.
"Wahai Rasulullah, lelaki tersebut mengucapkan demikian kerana takutkan hayunan pedang", jawab Usamah.
"Sudahkah kau membelah dadanya sehingga kau tahu dia benar-benar mengucapkan kalimah syahadah atau tidak??" Rasulullah SAW terus mengulang-ulang soalan tersebut sebagai menunjukkan bahawa salahnya perbuatan membunuh tersebut. [rujuk Sahih Muslim – hadis no: 158]
Melalui hadis di atas diambil pengajaran bahawa cukup kita melihat apa yang zahir. Siapalah kita untuk menilai iman orang lain. Tanyalah diri, mampukah kita mengukur kuantiti dan kualiti iman kita sendiri? Jika itupun diluar kemampuan. Tentu sekali di luar kemampuan kita menilai melebihi apa yang terzahir dapat dilihat.
Sepatutnya kembalinya beliau kita iring dengan doa. Moga Allah SWT terus memperkasakan aqidah hamba-Nya itu. Dan melalui peristiwa ini, membuka peluang kepada umat Islam yang giat berkongsi mesej Islam menceritakan keindahan Islam.
alFaisal
Kuala Lumpur
25 November 2008 / 27 Zulkaedah 1429
12.00 am
No comments:
Post a Comment