Tuesday, November 11, 2008

Suka Duka Saudara Baru Untuk Diiktiraf Sebagai Muslim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tuan tuan dan puan puan yang saya hormati.

Saya ingin menengahkan satu masaalah besar yang dihadapi oleh saudara saudari baru kita di Malaysia ini.


Bagi kita yang lahir sebagai Muslim, ramai yang mengambil mudah akan hakikat diri itu beragama Islam dan hidup tanpa sedar akan kepayahan mereka yang lahir dikalangan orang orang kafir dan setelah membesar dan mendapat Taufik dan Hidayah dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala berusaha untuk memeluk Agama Islam nan suci ini.





Cikgu Nur Aliya Yeoh binti Abdullah.

Seorang rakan blogger saya @ Cikgu Nur Aliya Yeoh binti Abdullah melalui pengalaman pengalaman yang amat mencabar dan menduga tahap kesabarannya bila terpaksa menghadapi pelbagai macam kerenah kerenah birokrasi pegawai pegawai Kerajaan Malaysia.

Kalau orang yang kurang sabar atau rapuh imannya, sudah tentu akan berkata' Ah! Persetanlah dengan ini semua!' dan membatalkan hasrat mereka untuk menjadi seorang Muslim!

Namun Alhamdulillah beberapa orang Mualaf yang saya kenal didalam hidup saya ini membuktikan kesungguhan dan kemantapan iman mereka dan berjaya melalui keseluruhan ujian ujian dari manusia manusia berbangsa Melayu dinegara ini yang merasakan diri mereka lebih Islam dari yang lain padahal suratkhabar dan majalah majalah agama mendedahkan kes kes jenayah jenayah yang memaparkan realiti sebaliknya.

Saya amat kagum dan bangga dengan sahabat sahabat saya ini terutama sekali dengan Cikgu Nur Aliya diatas semangat nya dan Ustaz Haji Kamaruddin Abdullah Santanasamy, rakan pengasas Pusat Dakwah Islam yang kami tubuhkan di Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang.







Ustaz Haji Kamaruddin Abdullah sedang berdakwah kepada seorang pelancung yang hadir di pusat dakwah kami di Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang.

Mereka adalah simbol insan insan istimewa yang melalui 'Gauntlet of Fire' didalam hidup mereka demi untuk menegakkan Ad Deenullah didalam jiwa mereka dan membantu yang lain untuk memahami Agama Islam yang maha suci.

Semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala merahmati kehidupan mereka berdua ini dan juga rakan rakan mualaf yang lain supaya terus tabah menghadapi ragam ragam manusia sesama agama ditanahair ini yang sayangnya mengidap penyakit ujub dan riya' didalam hati mereka dan memandang rendah terhadap mualaf!

Saya memohon kepada para pembaca agar menasihati mereka yang memandang rendah terhadap para mualaf supaya bertaubat dan kembali menghayati ertikata menjadi seorang Muslim didalam pengertian yang sebenarnya. Insya Allah.

Mari lah kita membaca luahan hati Cikgu Nur Aliya yang terkini yang saya petik dengan izinnya dari blog beliau di Musings of a Mualaf yang beralamat http://pukullima.blogspot.com.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Artikel ini muncul dalam pos bulan Disember 2007. Saya pos sekali lagi bagi pengetahuan pembaca yang baru mengenali blog ini agar dapat membantu mereka yang berhasrat memeluk Islam. Bacalah dan bayangkanlah kalau anda mualaf yang baru memeluk Islam :)


Tape apakah yang saya maksudkan?

Bukan tape pelekat tetapi (red tape)@ kerenah birokrasi yang saling berkait, berlingkaran, dan mengambil masa lama untuk diurus.

Tape pertama: Mendaftar di Jabatan Agama Islam PP
Saya pergi ke sana dengan dua orang ustazah yang menjadi saksi pengislaman saya tempoh hari. Mereka juga ingin tahu prosedur yang perlu dilalui oleh seseorang yang hendak memeluk Islam. Ya la, bukan semua orang tahu tentang perkara ini. Kebetulan kami tiba agak lewat, maka proses yang dijalani kurang rumit.

Pertama, mendengar penerangan ringkas tentang konsep Islam.
Saya angguk faham, mudah apabila dua orang ustazah memberitahu pegawai bertugas bahawa mereka telah memberi penerangan lengkap kepada saya lebih awal lagi.

Kedua, mengisi Borang Maklumat Diri.
Sekali lagi dinasihati agar kekalkan nama keluarga.

Ketiga, diberi Surat Perakuan Masuk Islam Sementara yang mempunyai tarikh luput satu bulan. Surat sebesar ketas A4 ini penting, satu-satunya dokumen yang membuktikan keIslaman seseorang.

Keempat, diminta hadir kursus Fardu Ain untuk sebulan. Alamak, susah sebab saya tak ada pelepasan daripada pihak universiti, maklum saja semester baru bermula.

Alhamdulillah ustazah-ustazah saya menawarkan diri untuk mengajar. Kelonggaran diberi dengan syarat kembali ke situ untuk ditemuduga dalam tempoh sebulan.

Saya pulang dengan satu beg barang saguhati peralatan ibadah untuk saudara baru iaitu sejadah, pakaian sembahyang, terjemahan al-quran, buku asas fardu ain, serta buku asas mengerjakan sembahyang. Terima kasih.

Tape kedua: Kena lulus temuduga untuk dapat Sijil Masuk Islam
Haiyah!! Kena belajar ekspres pula sebelum diakui orang Islam oleh Jabatan Agama Islam. Dalam tempoh genap 30 hari pula tu. Banyak pula yang kena tahu.

Rasa-rasanya bukan semua orang Islam yang lahir dalam keluarga Islam yang boleh lulus temuduga kalau disoal semua perkara berikut.

Tak bolehkah beri tempoh lebih lama atau kurangkan topik yang perlu diketahui? Tensyen jadinya, tambahan saya juga merupakan mahasiswi yang belajar sepenuh masa.

Saya petik daripada Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri PPinang:

Kaedah Jagaan Dan Pengajaran Orang Masuk Islam Dan Cara Pendaftarannya.

(2) Mana-mana orang yang telah menghadiri mana-mana kelas Fardhu Ain di bawah perenggan 5 (1)
(b) hendaklah ditemuduga bagi memastikan tahap kefahaman Islam orang tersebut dan soalan-soalan yang perlu dikemukakan ialah –
(a) pengertian Iman dan Islam menurut bahasa dan istilah syarak;
(b) huraian rukum Iman dan Islam;
(c) pengertian bersuci dalam Islam seperti Istinjak, jenis-jenis air dan jenis najis/cara- cara mandi wajib@ mandi hadas besar;
(d) pengertian wudhu’ dan rukun-rukunnya;
(e) cara-cara melaksanakan sembahyang 5 waktu dan sembahyang Jumaat;
(f) Bacaan-bacaan wajib dalam sembahyang (Tabiratul Ihram, Surah Al-Fatihah, Tahiyat/Tasyahud dan Taslim/Salam)
(g) Pengertian hukum dan pembahagiannya.

Tape ketiga: Dapatkan Sijil Masuk Islam
Alhamdulillah saya lulus. Disuruh oleh Ustaz Malik untuk membaca Tahiyat akhir daripada ingatan. Saya katakan saya belum hafal sepenuhnya kerana sukar nak ingat kesemuanya dalam tempoh sebulan. Saya berdialog panjang dengan Ustaz Malik dan meminta dia menyoal bahagian lain yang saya tahu (amoi ini memang tak takut sesiapa kecuali Allah). Akhirnya dia mengalah dan mengistiharkan saya lulus :P.

Malangnya pegawai yang sepatutnya menandangani Sijil Masuk Islam bercuti dan tiada pegawai yang diamanahkan menggantikan tugasnya. Terpaksalah saya jadi orang Islam tak berdokumen pengenalan Islam selama dua minggu . Itu pun syukur kerana saya sudah bertudung.

Andai kata ditakdirkan maut dalam keadaan tiada dokumen dan mayat diambil oleh keluarga saya yang bukan Islam, jadi pula kes rebut mayat. (huhuhuuu).

Selepas menelefon Ustaz Malik berkali-kali dan merayu meminta dokumen berkenaan, akhirnya saya terpaksa meminta bantuan Pusat Islam untuk campur tangan.

Sijil yang ditunggu-tunggu sampai ke tangan saya dua minggu lewat. Terpaksa dihantar sendiri oleh Ustaz Malik kepada Ketua Imam Masjid al-Malik, USM. Agaknya sehingga hari ini Ustaz Malik masih ingat Aliya ini, hehehe.

Tape keempat: Surat Akuan Sumpah
Terpaksa pula mencari Pesuruhjaya Sumpah untuk mengangkat sumpah bahawa saya telah memeluk agama Islam, dan bahawa saya telah menggugurkan penggunaan nama lama untuk dikenali dengan nama Islam saya dalam segala perkara. Wajib ada surat akuan ini barulah permohonan untuk kad pengenalan baru boleh diproses. Khidmat ini tidak disediakan di Pejabat Agama Islam. Oleh sebab kesibukan studi dan kesuntukan masa untuk mendapatkan Pesuruhjaya Sumpah, akhirnya Sijil Masuk Islam dari negeri lain, Surat Akuan dari negeri lain. Bila ingat balik, terasa lucu juga.
Semoga Allah berkati pasangan Melayu yang tidak dikenali yang begitu baik hati membayar bagi pihak saya untuk Surat Akuan Sumpah tersebut. Kata mereka, sebagai menyambut saya sebagai saudara seagama mereka.

Tape kelima: Borang Permohonan Pindaan Butiran Dalam Kad Pengenalan
Sudah tentu saya mahu membuat kad pengenalan yang mempunyai nama baru saya dan perkataan Islam tertera di bawah gambar foto. Lagipun tak elok gambar lama yang tidak menutup aurat dilihat setiap kali saya mengeluarkan MyKad. Saya sudah mulai letih menerangkan mengapa saya memeluk Islam setiap kali orang membaca nama lama saya dan melihat saya memakai tudung. Masyarakat kita masih belum bersedia menerima wanita bernama Cina yang memakai tudung, melainkan dia rakyat negara China.Borang ini terhad di Jabatan Agama Islam. Saya minta juga kerana hendak menjimat masa dan tenaga pergi ke Pejabat Pendaftaran Negara, dan diberi borang terakhir dalam simpanan mereka. Borang ini perlu dilengkapkan dan dihantar kepada Bahagian Pendaftaran Negara di Putrajaya. Kalau pergi ke Pejabat Pendaftaran Negara yang terdekat pun, borang yang sama tetap perlu diisi.


Dokumen-dokumen lain perlu dikepilkan sekali, iaitu:
- Surat Akuan Berkanun Asal
- Salinan Sijil kelahiran
- Sijil Memeluk Agama Islam
- Wang Pos RM10

Saya diberitahu oleh seorang saudara baru ketika menerima wang sumbangan zakat bahwa MyKad barunya mengambil masa selama 6 bulan untuk siap. Saya tak mahu tunggu begitu lama, jadi pada waktu cuti, saya turun sendiri ke Putrajaya. Alhamdulillah walaupun buat kali pertama sampai ke sana, dengan bantuan kawan saya Ija, saya berjaya menghantar sendiri borang ini dengan dokumen yang diperlukan kepada pegawai bertugas. Permohonan saya diluluskan dalam tempoh sebulan tetapi surat tiba dua bulan kemudian. Tak kisah lah, dua bulan lebih baik daripada enam bulan.

Tape keenam : Menunggu MyKad baru
Kena tunggu dua bulan lagi untuk siap. Sabar sajalah dan senyum simpul setiap kali apek teksi tanya, “eh, lu Cina atau Melayu ahh?” bila nampak pas masuk ke dalam kampus saya yang masih bernamakan nama lama. Nak senang, saya jawab, “Apek, bapa saya Cina.”
“Oh, jadi lu masuk Melayu kah?” Nak selamat, senyum tak perlu jawab…

Alhamdulillah sekarang MyKad baru dah dapat, pas universiti dengan nama Islam pun dah dibuat dan digunakan sehingga saya tamat pengajian universiti. Lega sungguh kerana urusan seharian yang memerlukan pengenalan diri seperti urusan bank, paspot, dan sebagainya pasti lebih mudah dilakukan menggunakan MyKad baru. Tak banyak soal lagi.

(Saya tersilap rupanya. Tengoklah apa yang perlu diharungi semasa memohon paspot. Urusan bank banyak yang masih menggunakan nama asal. Tunggulah, kalau susah sangat, saya cari saja bank yang memudahkan saya. Setakat ini alhamdulillah Bank Muamalat dan BSN memberi kerjasama yang baik).

Selepas melalui semua tape ini, barulah saya sedar mengapa masih terdapat saudara baru yang masih belum mengutip Sijil Masuk Islam mereka dari Pejabat Agama Islam. Mengapa ada orang yang telah memeluk Islam yang dikatakan murtad, dan ada yang masih belum diketahui pengislamannya oleh ahli keluarga kerana pertukaran dokumen pengenalan diri merupakan pilihan individu itu sendiri. Juga mengapa masih ramai yang tidak menukar kad pengenalan untuk menyatakan secara bertulis bahawa mereka sudah beragama Islam, kerana tak tahu prosedur dan tak dibantu oleh orang yang bertanggungjawab. Sebenarnya kalau tak umumkan pertukaran agama, tiada siapa yang tahu atau ambil kisah, sehingga orang berkenaan meninggal dunia di hospital. Barulah heboh satu negara apabila berlakunya perebutan mayat antara ahli keluarga dan pihak Jabatan Agama yang tidak melakukan lawatan ke rumah saudara baru setelah Sijil Masuk Islam dikeluarkan.

Mengistiharkan diri sebagai orang Islam di Malaysia adalah satu proses yang rumit, panjang dan lama.

SEMUANYA KENA URUSKAN SENDIRI.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Begitulah tuan tuan dan puan puan para pembaca blog yang saya hormati sekelian, suka duka saudara baru kita yang selalunya tidak diendahkan orang.

Cabaran cabaran yang hebat menanti mereka yang mahu memeluk Agama Islam di Malaysia ini.























Saya rasa Kerajaan Malaysia harus menganugerahkan satu pingat emas kepada setiap mualah yang berjaya melalui halangan halangan birokrasi kakitangan pegawai jabatan jabatan dan kementerian mereka sendiri kerana bukan sebarangan orang boleh tahan sabar dengan segala birokrasi tanpa perlu ini?

Bukan mudah untuk lulus sebagai seorang mualaf di tanah air kita.

Mereka bukan sahaja akan menghadapi cemuhan dan prasangka buruk dari masyarakat sekaum dengan mereka tetapi dipandang rendah pula oleh golongan tertentu didalam masyarakat Islam di Malaysia ini.

Mereka akan dituduh masuk Islam kerana kemaruk dengan diskaun kos harga rumah 5 hingga 7% bagi mereka yang bertaraf bumiputera!

Mereka akan dituduh cuba mendapatkan peruntukan rumah kos rendah yang dikhaskan untuk orang orang Melayu, dsbnya!

Mereka akan dituduh 'Masuk Melayu' oleh orang orang yang 'kureng' dibahagian pemahaman ertikata sebenar agama Islam disini.

Siapa yang boleh menukar keturunannya?

Tengok muka sahaja kita dah tahu sipolan ni bangsa apa dan sebagainya? Hanya orang yang 'kureng' sahaja boleh keluarkan kenyataan kenyataan kurang bijak seperti itu!

Nak kata bodoh ramai yang melenting karang tetapi bukankah itu hakikatnya?

Pelbagai ujian ujian sosial akan dihadapi oleh mereka yang hanya mahu hidup sebagai orang Islam setelah mendapat kesedaran akan siapa diri mereka sebenarnya dan siapa Tuhan sebenar yang berhak disembah?

Sebab itulah saya amat sayang akan kedua sahabat saya yang saya rujuk didalam artikel ini.

Sehingga kehari ini, saya akan mendapat berita dari Kamaruddin tentang cabaran cabaran terkini yang dihadapinya di Masjid Kapitan Keling.

Saya akan menasihatinya supaya bersabar dan ingat kepada azamnya untuk hidup dan mati dijalan Allah!

Kita hidup dengan izin Allah dan kalau boleh biarlah kita mengakhiri hayat kita dijalan Nya!

Amin.

Semoga setiap pembaca artikel ini akan sedar akan perlunya kita membantu para mualaf dikalangan kita dan bersedia membela mereka dari ketidakadilan didalam tanahair kita ini.

Insya Allah.

Selamat menunaikan solat Jumaat dan Selamat Berbakti terhadap para mualaf dan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan dan kerjasama kita. Allah tetap akan membalas jasa jasa tuan puan semua. Insya Allah.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

http://mahaguru58.blogspot.com/2008/11/suka-duka-saudara-baru-untuk-diiktiraf.html

No comments:

ISLAM UNTUK SEMUA DAN INDAHNYA ISLAM DENGAN DAKWAH

Erti Hidup Dengan Memberi, Erti Bijaksana Dengan Hikmah