Saturday, May 14, 2011

Benarkah Kitab Catholic Lebih Banyak dari Kitab Protestant


Kebanyakan mereka yang tidak mendalami ilmu kristianiti sering salah faham dengan isu ini dan melontarkan tuduhan bahawa orang katholik menambah bilangan kitab mereka.


Bagi saya, ia mungkin disebabkan kegagalan mereka untuk mengetahui isu disebalik pernyataan orang katholik mempunyai 73 buah kitab dan orang protestant mempunyai 66 buah kitab.


Untuk mengetahui sebab disebaliknya, seseorang itu perlu mengetahui mengenai sejarah tentang perkembangan gereja mengikut konsep agama kristian itu sendiri.


Pada zaman Jesus Christ, tidak ada konsep penubuhan gereja. Beliau menjalankan dakwah dengan dibantu oleh 12 orang anak murid beliau (termasuk Judas Iscariot yang kemudiannya mengkhianati baginda). Golongan ini dikenali dalam islam sebagai golongan Hawariyyun.


Setelah baginda diangkat ke langit, tugas dakwah diteruskan oleh golongan Hawariyyun ini. ketika ini juga, muncul watak Saul the Tarsus yang dikatakan menerima visi daripada Jesus Christ sewaktu dalam perjalanan ke Damsyik. Beliau kemudiannya dibawa oleh Barnabas untuk menyertai golongan Hawariyyun yang lain.


Namun, pergeseran berlaku di antara puak hawariyyun terutamanya setelah ajaran Saul the Tarsus dikatakan bercanggah dengan apa yang diajarkan oleh Jesus Christ. Dua cabang utama kristian muncul iaitu Gereja yang dipimpin oleh St James dan St Peter yang berpusat di Jurusalem dengan Gereja pimpinan Saul the Tarsus yang berpusat di Antioch.


Gereja pimpinan Saul The Tarsus ini dikenali sebagai The Catholic Church dan mula meraih populariti setelah Maharaja Theodosius I mengisytiharkan aliran ini sebagai agama rasmi empayar Rom. Gereja pimpinan St James dan Peter pula semakin lama semakin pupus disebabkan berlakunya penindasan dari pihak The Catholic Church.


The Catholic Church kemudiannya mengalami perpecahan lagi dan kali ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu timur dan barat. Gereja sebelah barat dikenali sebagai Roman Catholic Church yang berpusat di Vatican City dengan diketuai oleh seorang Pope. Manakala gereja di sebelah timur pula dikenali sebagai Eastern Orthodox Church yang diketuai oleh Patriach of Constantinople.


Pada abad ke 16, berlakunya satu revolusi dalam agama kristian apabila wujudnya penentangan yang diketuai oleh St Martin Luther. Penentangan ini didakwa berpunca daripada amalan gereja Roman Catholic yang ketika itu mengamalkan kepercayaan karut dan berlaku banyak penyelewengan. Golongan ini dikenali sebagai golongan Protestant dan mereka mendakwa bahawa mereka kembali ke agama kristian yang lebih primitif dan suci berbanding Roman Catholic Church.


Golongan ini menolak 7 buah buku dari 73 buku dari Bible Catholic yang disifatkan sebagai apocrypha ataupun kitab yang diragui kesahihannya. Kitab ini turut dikenali sebagai pseudepigraphal yang bermaksud penulisan yang salah.


Tujuh buah kitab yang terkandung dalam old testament itu adalah Books of Tobit, Judith, First and Second Maccabees, Wisdom, Sirach or Ecclesiasticus dan Baruch.


Antara hujah mengapa mereka menolak kitab-kitab ini adalah kerana menyalahi doktrin fahaman mereka, bercanggah dengan ajaran, sejarah, budaya dan mempunyai kesalahan saintifik yang serius apabila dibandingkan dengan 66 buah kitab yang lain.


Menyedari akan kemungkinan berlaku lagi kekecohan mengenai kesahihan jumlah bilangan kitab dalam Bible, satu majlis yang dikenali sebagai Council of Trent diwujudkan pada tahun 1546 yang menyenaraikan tujuh buku-buku tersebut sebagai sebahagian dari old testament. Pada masa yang sama, majlis ini turut mengesahkan jumlah buku dalam New Testament.


Oleh itu dakwaan bahawa orang katholik menambah bilangan kitab mereka adalah tidak benar kerana pada hakikatnya ia berpunca dari penolakan golongan protestant terhadap tujuh kitab tersebut.


Oleh,

Bro Muhamad Na’im B. Ab Razak (jacknaim)


**Bro Muhamad Na'im B. Ab Razak yang dikenali dengan nama pena jacknaim merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan dari Universiti Sains Malaysia dan mengikuti Kursus Perbandingan Agama Friendly Comparative Religion di IIS Foundation Setiawangsa, Training The Trainer Islamic Education Trust Nigeria oleh Bashir Mundi & Nuruddin Lemu, Bengkel Dakwah Syeikh Yusuf Estes dan Kursus Akar Umbi Kristianiti oleh Bro Amin Yaacob. Beliau juga merupakan bekas penggerak Kelas Peradaban Nabawi USM Kubang Kerian.

No comments:

ISLAM UNTUK SEMUA DAN INDAHNYA ISLAM DENGAN DAKWAH

Erti Hidup Dengan Memberi, Erti Bijaksana Dengan Hikmah