Saturday, May 14, 2011

Benarkah Kitab Catholic Lebih Banyak dari Kitab Protestant


Kebanyakan mereka yang tidak mendalami ilmu kristianiti sering salah faham dengan isu ini dan melontarkan tuduhan bahawa orang katholik menambah bilangan kitab mereka.


Bagi saya, ia mungkin disebabkan kegagalan mereka untuk mengetahui isu disebalik pernyataan orang katholik mempunyai 73 buah kitab dan orang protestant mempunyai 66 buah kitab.


Untuk mengetahui sebab disebaliknya, seseorang itu perlu mengetahui mengenai sejarah tentang perkembangan gereja mengikut konsep agama kristian itu sendiri.


Pada zaman Jesus Christ, tidak ada konsep penubuhan gereja. Beliau menjalankan dakwah dengan dibantu oleh 12 orang anak murid beliau (termasuk Judas Iscariot yang kemudiannya mengkhianati baginda). Golongan ini dikenali dalam islam sebagai golongan Hawariyyun.


Setelah baginda diangkat ke langit, tugas dakwah diteruskan oleh golongan Hawariyyun ini. ketika ini juga, muncul watak Saul the Tarsus yang dikatakan menerima visi daripada Jesus Christ sewaktu dalam perjalanan ke Damsyik. Beliau kemudiannya dibawa oleh Barnabas untuk menyertai golongan Hawariyyun yang lain.


Namun, pergeseran berlaku di antara puak hawariyyun terutamanya setelah ajaran Saul the Tarsus dikatakan bercanggah dengan apa yang diajarkan oleh Jesus Christ. Dua cabang utama kristian muncul iaitu Gereja yang dipimpin oleh St James dan St Peter yang berpusat di Jurusalem dengan Gereja pimpinan Saul the Tarsus yang berpusat di Antioch.


Gereja pimpinan Saul The Tarsus ini dikenali sebagai The Catholic Church dan mula meraih populariti setelah Maharaja Theodosius I mengisytiharkan aliran ini sebagai agama rasmi empayar Rom. Gereja pimpinan St James dan Peter pula semakin lama semakin pupus disebabkan berlakunya penindasan dari pihak The Catholic Church.


The Catholic Church kemudiannya mengalami perpecahan lagi dan kali ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu timur dan barat. Gereja sebelah barat dikenali sebagai Roman Catholic Church yang berpusat di Vatican City dengan diketuai oleh seorang Pope. Manakala gereja di sebelah timur pula dikenali sebagai Eastern Orthodox Church yang diketuai oleh Patriach of Constantinople.


Pada abad ke 16, berlakunya satu revolusi dalam agama kristian apabila wujudnya penentangan yang diketuai oleh St Martin Luther. Penentangan ini didakwa berpunca daripada amalan gereja Roman Catholic yang ketika itu mengamalkan kepercayaan karut dan berlaku banyak penyelewengan. Golongan ini dikenali sebagai golongan Protestant dan mereka mendakwa bahawa mereka kembali ke agama kristian yang lebih primitif dan suci berbanding Roman Catholic Church.


Golongan ini menolak 7 buah buku dari 73 buku dari Bible Catholic yang disifatkan sebagai apocrypha ataupun kitab yang diragui kesahihannya. Kitab ini turut dikenali sebagai pseudepigraphal yang bermaksud penulisan yang salah.


Tujuh buah kitab yang terkandung dalam old testament itu adalah Books of Tobit, Judith, First and Second Maccabees, Wisdom, Sirach or Ecclesiasticus dan Baruch.


Antara hujah mengapa mereka menolak kitab-kitab ini adalah kerana menyalahi doktrin fahaman mereka, bercanggah dengan ajaran, sejarah, budaya dan mempunyai kesalahan saintifik yang serius apabila dibandingkan dengan 66 buah kitab yang lain.


Menyedari akan kemungkinan berlaku lagi kekecohan mengenai kesahihan jumlah bilangan kitab dalam Bible, satu majlis yang dikenali sebagai Council of Trent diwujudkan pada tahun 1546 yang menyenaraikan tujuh buku-buku tersebut sebagai sebahagian dari old testament. Pada masa yang sama, majlis ini turut mengesahkan jumlah buku dalam New Testament.


Oleh itu dakwaan bahawa orang katholik menambah bilangan kitab mereka adalah tidak benar kerana pada hakikatnya ia berpunca dari penolakan golongan protestant terhadap tujuh kitab tersebut.


Oleh,

Bro Muhamad Na’im B. Ab Razak (jacknaim)


**Bro Muhamad Na'im B. Ab Razak yang dikenali dengan nama pena jacknaim merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan dari Universiti Sains Malaysia dan mengikuti Kursus Perbandingan Agama Friendly Comparative Religion di IIS Foundation Setiawangsa, Training The Trainer Islamic Education Trust Nigeria oleh Bashir Mundi & Nuruddin Lemu, Bengkel Dakwah Syeikh Yusuf Estes dan Kursus Akar Umbi Kristianiti oleh Bro Amin Yaacob. Beliau juga merupakan bekas penggerak Kelas Peradaban Nabawi USM Kubang Kerian.

Friday, May 13, 2011

Masuk Syurga Kerana Jesus Christ.


Ramai penganut kristian mendakwa bahawa hanya dengan beriktikad bahawa Jesus Christ adalah anak tuhan ataupun juru selamat maka mereka bakal mendapat kehidupan yang abadi di syurga. Iktikad ini sudah lebih dari mencukupi dan mereka tidak perlu melakukan apa-apa ibadat lagi.


Dakwaan ini merupakan umpan menarik yang disajikan oleh mubaligh yang menjalankan gerakan penginjilan. Malah, bagi mereka sudah cukup andai seseorang itu tidak mahu mengisytiharkan diri menganut agama kristian tetapi meletakkan Jesus di dalam hati masing-masing.


Bahkan, seorang sahabat saya turut mempunyai pengalaman peribadi dalam hal ini sewaktu berinteraksi dengan seorang pengikut kristian semasa menghadiri upacara perkahwinan sahabatnya di sebuah gereja. Beliau telah diajak untuk menjadi ‘silent follower’ di mana beliau hanya perlu beriktikad bahawa Jesus merupakan anak Tuhan dan selebihnya bebas untuk mengikuti ajaran islam lain seperti bersolat, berpuasa dan sebagainya. Dengan itu, tempatnya di syurga sudah terjamin.


Terdapat dua ayat utama dari Kitab Bible yang digunakan oleh mereka bagi menyokong dakwaan ini. Saya sendiri juga biasa didedahkan mengenai ayat ini oleh penganut agama kristian sewaktu mengadakan perbincangan dengan mereka. Petikan ayat daripada John 3:16 dan Roman 10:9 itu berbunyi seperti berikut;


Karena begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal. [John 3:16]


Sebab jika kamu mengaku dengan mulutmu, bahwa Yesus adalah Tuhan, dan percaya dalam hatimu, bahwa Allah telah membangkitkan Dia dari antara orang mati, maka kamu akan diselamatkan. [Roman 10:9]


Persoalan yang ingin saya huraikan di sini ialah adakah dengan hanya dengan beriktikad sebegitu, maka seseorang itu dengan begitu mudahnya akan masuk ke dalam syurga? Benarkah ini merupakan ajaran sebenar yang dibawa oleh Jesus Christ di sepanjang misi kenabian baginda?


Ayat daripada John 3:16 merupakan ayat kontroversi yang diragui kesahihannya termasuklah dalam kalangan ulamak bible sendiri. Malah, kebanyakan pentafsir bible mengakhiri tafsiran mereka selepas ayat ke 15 (rujuk nota kaki NIV bible version). Oleh itu, adalah sesuatu yang mengecewakan seandainya seseorang itu menerima bulat-bulat hujah daripada sumber yang gagal dibuktikan kebenarannya.


Untuk ayat Roman 10:9 pula, ia bukanlah ungkapan Jesus Christ sebaliknya merupakan ayat yang dilontarkan oleh St Paul the Tarsus. Beliau pada awalnya merupakan orang yang paling kuat sekali menentang ajaran Jesus Christ walaupun tidak pernah bertemu sendiri dengan Jesus. Kebenciannya terhadap ajaran Jesus membuatkan beliau sentiasa mencari peluang untuk menghukum penganut ajaran yang dibawa oleh Jesus. Namun, beliau dikatakan menerima visi bertemu Jesus dalam perjalanan ke Damsyik dan terus menjadi penyampai ajaran Jesus. Akan tetapi, kebanyakan ajaran yang dibawa sangat bertentangan dengan ajaran sebenar Jesus.


Ayat daripada Matthew 7:21 sebagai contoh, jelas menunjukkan bahawa seruan dari John 3:16 dan Roman 10:9 adalah sangat-sangat menyalahi ajaran sebenar Jesus Christ.


Bukan setiap orang yang berseru kepada-Ku: Tuhan, Tuhan! akan masuk ke dalam Kerajaan Sorga, melainkan dia yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di sorga. [Matthew 7:21]


Ada kristian yang saya temui mendakwa bahawa ayat ini sebenarnya ditujukan kepada golongan munafik yang menggunakan nama Jesus demi untuk kepentingan diri sendiri. Akan tetapi, ayat ini sebenarnya cukup jelas sekali menyatakan bahawa dengan melakukan kehendak God the Father, maka barulah seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga.


Perkara yang sama turut ditegaskan oleh Jesus Christ (tulisan warna merah dalam bible menunjukkan bahawa kata-kata itu dipercayai berasal dari Jesus Christ sendiri) sewaktu seorang pemuda kaya datang bertanyakan beliau tentang cara-cara untuk beroleh kehidupan yang abadi.Menurut beliau, hanya dengan mematuhi segala perintah Allah, maka seseorang itu beroleh syurga. Peristiwa ini tercatat dalam surah Matthew 19: 16-25.


Dalam ayat Matthew 19:23 pula, Jesus sekali lagi menegaskan bahawa adalah sukar sekali untuk memasuki syurga. Paling ironi ialah apabila penegasan ini diulang kembali dalam ayat ke 24 yang dinukilkan dalam bahasa yang cukup indah sekali.


Sekali lagi Aku berkata kepadamu, lebih mudah seekor unta masuk melalui lobang jarum dari pada seorang kaya masuk ke dalam Kerajaan Allah.[Matthew 19:24]


Berdasarkan hujah-hujah yang saya nyatakan diatas, dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa begitu mudahnya untuk memasuki syurga dengan hanya menanam iktikad terhadap Jesus Christ hanyalah satu angan-angan kosong. Andai seseorang kristian itu ingin memasuki syurga, maka mereka harus mengikuti suruhan Jesus Christ dan juga God the Father. Dan suruhan itu tidak lain dan tidak bukan adalah merupakan syariat ISLAM. Hanya dengan menganuti agama ISLAM maka seseorang itu dapat masuk syurga.


Oleh,

Bro Muhamad Na’im B. Ab Razak (jacknaim)



**Bro Muhamad Na'im B. Ab Razak yang dikenali dengan nama pena jacknaim merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan dari Universiti Sains Malaysia dan mengikuti Kursus Perbandingan Agama Friendly Comparative Religion di IIS Foundation Setiawangsa, Training The Trainer Islamic Education Trust Nigeria oleh Bashir Mundi & Nuruddin Lemu, Bengkel Dakwah Syeikh Yusuf Estes dan Kursus Akar Umbi Kristianiti oleh Bro Amin Yaacob. Beliau juga merupakan bekas penggerak Kelas Peradaban Nabawi USM Kubang Kerian.

ISLAM UNTUK SEMUA DAN INDAHNYA ISLAM DENGAN DAKWAH

Erti Hidup Dengan Memberi, Erti Bijaksana Dengan Hikmah