Sunday, July 19, 2009

Isu Roti Katholik


Assalaumu’alaikum di ucapkan buat muslimin muslimat sekalian. Semoga sentiasa dikuatkan iman untuk menghadiri segala macam cabaran yang berupaya untuk merosakkan akidah.

Mungkin isu ini sudah lama berlaku, bahkan saya sendiri telah mengetahuinya melalui laman web Malaysiakini 15 Julai 2009 di bawah tajuk “Roti Suci seret Al-Islam ke Balai” yang ditulis oleh saudara Abdul Rahim Sabri. Mungkin kesibukan masa membataskan diri untuk menulis ulasan ini

Pertama sekali, saya berpandangan bahawa niat asal wartawan Al-Islam untuk meninjau sejauh mana masalah remaja melayu murtad adalah munasabah. Akan tetapi, methodologi yang diguna pakai oleh mereka agak melampau. Saya petik tulisan dari malaysiakini untuk menunjukkan betapa isu ini sangat tidak bertanggungjawab.

"Perbuatan dua lelaki ini iaitu meninjau di dalam gereja, menerima roti putih ini (daripada paderi), meludah keluar roti putih tersebut bagi tujuan mengambil gambar dan kemudian menulis mengenai pengalaman tersebut dalam majalah Al-Islam merupakan perbuatan yang amat menghinakan kepada umat Katholik dan berprovokasi," aduan polis 8 Julai lalu dipetik.

Sekiranya, mereka hanya membuat tinjauan maka tidak sewajarnya mereka mengikuti ritual yang dijalankan. Bahkan, saya sendiri kurang pasti apakah bentuk penyamaran yang dilakukan oleh mereka. Adakah mereka menyamar dan mengatakan bahawa mereka adalah kristian?

Ini kerana, saya telah beberapa kali ke gereja melalui program perbandingan agama dan kebiasaannya kami akan duduk di kerusi paling belakang sekali. Mereka sama sekali tidak akan memberikan roti dan wine kepada mereka yang bukan penganut agama kristian.

Menurut kepercayaan kristian. Ada dua kisah membawa kepada pemberian roti kepada penganutnya. Pertamanya ialah kisah di mana Jesus Christ memberi makan ribuan manusia dengan sekeping roti dan keduanya ialah peristiwa di mana Jesus bercakap menggunakan bahasa ilustrasi yang mengatakan bahawa sesiapa yang memakan daging dan meminum darahnya akan beroleh kehidupan abadi. Ia diceritakan dalam Kitab John 6:54-59. Akan tetapi, maksud sebenar ayat ini ialah sesiapa yang mengikut ajaran dan kalimah tauhid yang dibawa beliau akan beroleh kehidupan abadi.

Akan tetapi, memandangkan mereka telah menjadikannya sebagai salah satu ritual dalam agama mereka, maka tidak sepatutnya kita menghina mereka. Sesungguhnya Islam menyuruh manusia menghormati agama lain sekiranya mereka mengiktiraf kedudukan islam.

Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (yaitu orang-orang) yang diberikan Al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk. [Q9:29]

Oleh yang demikian, saya berharap agar hal sebegini tidak lagi berlaku dan kita sepatutnya menghormati agama lain. Berkenaan dengan masalah murtad dalam kalangan remaja, tidak dinafikan ia semakin berleluasa dan wajib dibendung. Akan tetapi, wajarkah kita menyalahkan golongan kristian yang berdakwah serta menunjukkan kasih sayang mereka hingga menarik orang islam pada agama mereka.

Sebaliknya, kitalah yang wajib memperkukuhkan usaha dakwah dan memberi penerangan sebenar tentang agama kristian dan islam sebelum mereka tergelincir dari landasan akidah, Sekiranya ada masalah murtad, maka kitalah yang sepatutnya dipersalahkan.

Oleh

Bro Muhamad Na’im B. Ab Razak

Lujnah Kelas dan Praktikal KPN

1 comment:

tres said...

Terima kasih kerana menghormati fahaman dan agama kami. Sesungguhnya, hanya Tuhan yang tahu siapa yang berhak untuk bersama Nya.

ISLAM UNTUK SEMUA DAN INDAHNYA ISLAM DENGAN DAKWAH

Erti Hidup Dengan Memberi, Erti Bijaksana Dengan Hikmah