Monday, July 27, 2009

Seminar Menangani Murtad 09


Pengenalan.


Sejak kebelakangan ini, kita dikejutkan dengan satu demi satu kes murtad dan ia semakin berleluasa. Kes-kes murtad ini berlaku melibatkan samada mereka yang telah sedia muslim ataupun golongan revert (muallaf).



Dalam hal ini, pelbagai pihak dipersalahkan baik Jabatan agama mahupun ibu-bapa sendiri tanpa kita menyedari bahawa kita juga sebenarnya wajib dipertanggungjawabkan atas masalah murtad ini.


Oleh yang demikian, atas dasar tanggung-jawab maka kami di pihak Kelas Peradaban Nabawi membuat keputusan untuk menganjurkan Seminar Menangani Murtad yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai isu murtad dan cara menanganinya secara berhikmah dan bukannya secara beremosi.


Sesi ini dijalankan berdasarkan pengalaman sebenar Bro Shah Kirit Kalkulal Govidji dalam menangani masalah murtad di seluruh negara.



Objektif Seminar


- Mendedahkan kepada masyarakat punca berlakunya gejala murtad

- Mengupas isu-isu terkini melibatkan gejala murtad

- Melatih peserta agar mampu untuk menangani masalah murtad



Tarikh


31 Julai 2009 (Jumaat)



Masa


2.30PM- 6.30PM



Tempat


Masjid Murni, Universiti sains Malaysia Kampus Kesihatan, Kubang Kerian




Sasaran Peserta


250 orang peserta terdiri daripada pelajar universiti, professional, golongan agamawan dan orang awam.



Bayaran


Percuma dan minuman petang disediakan. Walaubagaimanapun, pihak kami menerima sumbangan seikhlas mungkin dari anda untuk tujuan pembangunan dakwah Kelas Peradaban Nabawi USM



Anjuran Bersama


Kelas Peradaban Nabawi USMKK

Rakan Masjid USMKK

Islamic Information and Services Setiawangsa

Pusat Islam USMKK


Tentang Bro Shah Kirit Kalkulal Govidji.


Bro Shah Kirit merupakan seorang Hindu yang telah memeluk Islam pada tahun 1996. Beliau telah banyak terlibat dalam kursus intensif perbandingan agama antaranya ialah; International Da’wa Training Program di IRF Mumbai yang dianjurkan Dr Zakir Naik. Dan “Training the Trainer” course di Nigeria yang dianjurkan oleh Nuruddeen Lemu & Asiya Rodrigo dari Islamic Education Trust.



Kini, beliau bertugas sebagai Pegawai di Islamic Information and Services Setiawangsa dan merupakan tenaga pengajar bagi program perbandingan agama “Friendly Comparative Religion”. Beliau sering dijemput untuk memberikan ceramah-ceramah perbandingan agama dan terlibat dalam Dialog antara agama di seluruh tanah air.



Selain daripada itu, Bro Shah juga berpengalaman memberikan presentation mengenai Islam di gereja-gereja sekitar Kuala Lumpur.



Beliau juga bertugas sebagai Pengurus Saba’ Islamic Media Maju Junction.



Bro Shah Kirit merupakan antara tenaga pengajar dan penasihat kepada program Kelas Peradaban Nabawi USMKK.




Tuesday, July 21, 2009

'From the Vatican to Al-Azhar'

Assalamu Alaikum Warrahmaatullah


Kepada semua Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah, s.w.t.


Minta perhatian. Insha'allah, pada hari Sabtu, 01 Ogos, IPSI (Penang) akan menganjurkan satu ceramah umum bertajuk 'From the Vatican to Al-Azhar'.


Ceramah ini akan disampaikan oleh saudara Idris Tawfiq dari Mesir. Beliau merupakan seorang bekas paderi gereja Katolik dari Rome, Italy yang telah dianugerahkan hidayah Islam dengan mengucapkan dua kalimah syahadah ditangan Yusuf Islam, seorang bekas artis pop di England yang dulunya dikenali dengan nama Cat Stevens. Menerusi ceramah ini saudara Idris akan berkongsi pengalaman hidup dari menjadi seorang ketua gereja Kristian kepada pendakwah Islam.


Program ini akan bermula pada pukul 4 petang bertempat di Bilik Seminar 2 & 3, Kompleks Masyarakat Penyayang, Jalan Utama, 10460 P. Pinang (bersebelahan dengan kediaman rasmi TYT Gabenor Pulau Pinang) .


Masuk adalah percuma. Tempat meletak kenderaan disediakan. Buku-buku dan DVD agama akan dijual dalam program tersebut.


Sila datang beramai-ramai untuk menghadiri majlis ilmu ini yang diberkati Allah, s.w.t.


Tolong sebarkan jemputan ini kepada rakan-rakan dan kenalan anda. Jazakallah.


Sekian, terima kasih. Wassalam.


Yang berusaha,

Haji Kamarudin Abdullah, PJK

Presiden

IPSI (Penang)

www.ipsi.com. my

Sunday, July 19, 2009

Isu Roti Katholik


Assalaumu’alaikum di ucapkan buat muslimin muslimat sekalian. Semoga sentiasa dikuatkan iman untuk menghadiri segala macam cabaran yang berupaya untuk merosakkan akidah.

Mungkin isu ini sudah lama berlaku, bahkan saya sendiri telah mengetahuinya melalui laman web Malaysiakini 15 Julai 2009 di bawah tajuk “Roti Suci seret Al-Islam ke Balai” yang ditulis oleh saudara Abdul Rahim Sabri. Mungkin kesibukan masa membataskan diri untuk menulis ulasan ini

Pertama sekali, saya berpandangan bahawa niat asal wartawan Al-Islam untuk meninjau sejauh mana masalah remaja melayu murtad adalah munasabah. Akan tetapi, methodologi yang diguna pakai oleh mereka agak melampau. Saya petik tulisan dari malaysiakini untuk menunjukkan betapa isu ini sangat tidak bertanggungjawab.

"Perbuatan dua lelaki ini iaitu meninjau di dalam gereja, menerima roti putih ini (daripada paderi), meludah keluar roti putih tersebut bagi tujuan mengambil gambar dan kemudian menulis mengenai pengalaman tersebut dalam majalah Al-Islam merupakan perbuatan yang amat menghinakan kepada umat Katholik dan berprovokasi," aduan polis 8 Julai lalu dipetik.

Sekiranya, mereka hanya membuat tinjauan maka tidak sewajarnya mereka mengikuti ritual yang dijalankan. Bahkan, saya sendiri kurang pasti apakah bentuk penyamaran yang dilakukan oleh mereka. Adakah mereka menyamar dan mengatakan bahawa mereka adalah kristian?

Ini kerana, saya telah beberapa kali ke gereja melalui program perbandingan agama dan kebiasaannya kami akan duduk di kerusi paling belakang sekali. Mereka sama sekali tidak akan memberikan roti dan wine kepada mereka yang bukan penganut agama kristian.

Menurut kepercayaan kristian. Ada dua kisah membawa kepada pemberian roti kepada penganutnya. Pertamanya ialah kisah di mana Jesus Christ memberi makan ribuan manusia dengan sekeping roti dan keduanya ialah peristiwa di mana Jesus bercakap menggunakan bahasa ilustrasi yang mengatakan bahawa sesiapa yang memakan daging dan meminum darahnya akan beroleh kehidupan abadi. Ia diceritakan dalam Kitab John 6:54-59. Akan tetapi, maksud sebenar ayat ini ialah sesiapa yang mengikut ajaran dan kalimah tauhid yang dibawa beliau akan beroleh kehidupan abadi.

Akan tetapi, memandangkan mereka telah menjadikannya sebagai salah satu ritual dalam agama mereka, maka tidak sepatutnya kita menghina mereka. Sesungguhnya Islam menyuruh manusia menghormati agama lain sekiranya mereka mengiktiraf kedudukan islam.

Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (yaitu orang-orang) yang diberikan Al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk. [Q9:29]

Oleh yang demikian, saya berharap agar hal sebegini tidak lagi berlaku dan kita sepatutnya menghormati agama lain. Berkenaan dengan masalah murtad dalam kalangan remaja, tidak dinafikan ia semakin berleluasa dan wajib dibendung. Akan tetapi, wajarkah kita menyalahkan golongan kristian yang berdakwah serta menunjukkan kasih sayang mereka hingga menarik orang islam pada agama mereka.

Sebaliknya, kitalah yang wajib memperkukuhkan usaha dakwah dan memberi penerangan sebenar tentang agama kristian dan islam sebelum mereka tergelincir dari landasan akidah, Sekiranya ada masalah murtad, maka kitalah yang sepatutnya dipersalahkan.

Oleh

Bro Muhamad Na’im B. Ab Razak

Lujnah Kelas dan Praktikal KPN

ISLAM UNTUK SEMUA DAN INDAHNYA ISLAM DENGAN DAKWAH

Erti Hidup Dengan Memberi, Erti Bijaksana Dengan Hikmah