Wednesday, July 13, 2011

Gerakan Evangelism: Anjakan Paradigma Dalam Menanganinya.

Gambar hiasan dari link [ini]

Oleh: Bro Muhamad Na’im B. Ab Razak (jacknaim)


Tidak dinafikan bahawa orang islam yang cintakan agama tauhid ini berada dalam ketakutan apabila memikirkan nasib generasi muda yang saban hari meninggalkan agama islam. Ia lantas membawa kepada sikap “defensive” dan “aggressive” dalam menangani isu ini.


Mereka yang bersikap “defensive” menutup rapat ruang untuk berbicara tentang isu-isu antara agama dan menjauhi rakan-rakan beragama krisian kerana takut dimurtadkan. Mereka yang bersikap “aggrasive” pula bersifat melenting hingga ada yang memberi amaran untuk mengisytiharkan perang salib ke atas penganut agama kristian.


Saya tidak menafikan bahawa gerakan evangelism semakin hari semakin membimbangkan apatah lagi focus gerakan penginjilan kini tertumpu ke Asia dan Afrika setelah Barat mula meminggirkannya seperti mana kata-kata Pope John Paul II dalam bukunya Crossing the Treshold of Hope.


Akan tetapi, saya melihat perkembangan ini dari sudut positif di mana ia berlaku kerana kasih dan sayangnya penganut agama kristian terhadap manusia sejagat. Harapan mereka adalah supaya setiap manusia diselamatkan dari ‘dosa warisan’ dan dimasukkan kedalam syurga.


Lalu Ia berkata kepada mereka: "Pergilah ke seluruh dunia, beritakanlah Injil kepada segala makhluk. Siapa yang percaya dan dibaptis akan diselamatkan, tetapi siapa yang tidak percaya akan dihukum. [Markus 16:15-16]


Sesiapa yang pernah menonton cerita The Passion Of The Christ lakonan Mel Gibson pasti dapat menyelami psikologi penganut kristian apabila berbicara tentang kasih sayang Jesus Christ terhadap penganutnya. Filem ini menunjukkan detik-detik 12 jam terakhir Jesus Christ sebelum disalib (nauzubillahi min zalik). Saya sendiri menitiskan air mata apabila menonton filem ini.


Bagi orang kristian, Jesus Christ telah melakukan satu pengorbanan yang amat besar hingga sanggup menanggung derita diseksa orang yahudi dan kemudiannya disalib hingga mengalirkan darah yang dapat menghapuskan dosa umatnya. Oleh itu, mereka juga harus menyebarkan berita ini keseluruh umat agar penderitaan Jesus Christ itu tidak sia-sia.


Tambahan pula, gereja turut menyeru bahawa untuk menjadi umat kristian yang baik, mereka harus menyebarkan ajaran kristian. Perbezaan antara umat kristian yang baik dan tidak baik diibaratkan sebagai sebatang pokok yang berbuah dan tidak berbuah.


Demikianlah setiap pohon yang baik menghasilkan buah yang baik, sedang pohon yang tidak baik menghasilkan buah yang tidak baik.Tidak mungkin pohon yang baik itu menghasilkan buah yang tidak baik, ataupun pohon yang tidak baik itu menghasilkan buah yang baik.Dan setiap pohon yang tidak menghasilkan buah yang baik, pasti ditebang dan dibuang ke dalam api.[Matius 7:17-19]


Apabila dinilai tujuan orang kristian menjalankan gerakan evangelism, maka dapat kita simpulkan bahawa mereka merupakan orang yang benar-benar ikhlas dalam menyampaikan agama mereka. Semangat waja mereka juga harus dipuji kerana mereka sanggup meninggalkan kemewahan dunia dan menempuh kehidupan yang sukar dalam menjalankan peranan mereka sebagai seorang kristian yang baik.


Kita sebagai Muslim sepatutnya malu dengan mereka kerana tidak ada perasaan untuk menyebarkan agama Islam yang kita yakini sebagai BENAR dan DIREDHAI Allah walaupun telah disuruh oleh Allah dalam Al Quran.


Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar [Q3:104]


Oleh itu kita sudah tidak boleh bersikap “defensive” ataupun “aggressive” lagi sebaliknya bersikap rasional dan terbuka dalam menghadapi isu ini. Setiap dari kita wajar melengkapkan diri dengan ilmu perbandingan agama untuk berhadapan dengan golongan mubaligh ini.


Apa yang penting, sewaktu berdepan dengan mereka, kita hendaklah berdialog dengan penuh hikmah dan memperbetulkan niat bahawa kita berdialog untuk mencari kebenaran dan bukannnya untuk menang perbahasan tersebut semata-mata. Selain itu, hati mereka juga patut dimenangi supaya; andai mereka tidak mahu menerima islam, sekurang-kurangnya mereka tidak lagi mempunyai salah faham terhadap islam dan berhenti menyebarkan fitnah terhadap islam.


Kaedah perbandingan agama secara penuh hikmah ini sebenarnya telah pun ditunjukkan oleh Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W apabila 60 orang rombongan kristian dari Najran datang untuk berdialog dengan nabi mengenai isu ketuhanan. Nabi Muhammad memberikan layanan yang baik kepada mereka dengan membenarkan mereka tidur dan solat dalam masjid dan berdialog dalam suasana yang aman.


Harapan kita adalah apabila golongan mubaligh ini menemui kebenaran, maka mereka akan menjadi pedakwah islam yang hebat pula kerana mereka mempunyai semangat yang sangat tinggi. Lihat sahaja Jamaal al-Din M. Zarabozo, Gary Miller, Yusuf Estes dan Bilal Phillip. Kesemua mereka menjadi pendakwah islam yang sangat komited setelah menemui kebenaran Islam. Cuba kita bayangkan andai setiap dari kita mampu melahirkan seorang pendakwah islam seperti mereka, nescaya kebenaran tentang Islam pasti dapat disebarkan ke serata alam.



ISLAM UNTUK SEMUA DAN INDAHNYA ISLAM DENGAN DAKWAH

Erti Hidup Dengan Memberi, Erti Bijaksana Dengan Hikmah